IPOH: Kerajaan negeri sedang menunggu keputusan kajian daripada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Perak berhubung isu kerosakan fosil berusia jutaan tahun dan dinding di Gua Masoorat, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi, berkata, setelah kajian itu disahkan maka nilai ganti rugi sebenar kerosakan itu boleh dituntut daripada produksi penggambaran terbabit.

Katanya lagi, pihaknya menjangkakan keputusan itu diperoleh tahun ini juga, bagi memastikan isu itu diselesaikan secepat mungkin.

"JMG belum uar-uarkan hasil kajian itu untuk kita kongsikan kepada umum. Setakat ini kita masih tunggu keputusan itu.

"Berdasarkan keputusan kajian itu baru kita boleh tahu nilai ganti rugi sebenar yang akan dituntut. Setahu saya Datuk Bandar Ipoh belum menetapkan apa-apa jumlah (ganti rugi) lagi.

"Memang kalau boleh kita mahu selesaikan (tahun ini) secepat mungkin, cuma kami belum dapat lagi maklum balas bila kita boleh buat tindakan susulan berdasarkan laporan tersebut," katanya.

Nolee Ashilin bercakap kepada pemberita dalam sidang media ketika hadir majlis pelancaran Ipoh Bandaraya Bestari Sejahtera serta Memorandum Persefahaman (MoU) Bagi Kajian Lanjut Program Rintis Gugusan Manjoi.

Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin serta Timbalan Naib Canselor Pentadbiran dan Kewangan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Prof. Madya Dr. Anas Md. Yusof.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita berhubung hasil kajian akhir yang diperolah daripada JMG Perak bahagian fosil dan pakar Universiti Malaya (UM).

Sebelum ini, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin memberitahu pihaknya dalam fasa akhir menunggu jawapan pakar dari UM.

Dalam pada itu, Rumaizi berkata sehingga kini difahamkan pakar USM telah menyerahkan hasil kajian tersebut kepada JMG.

"Saya difahamkan sudah ada (hasil kajian) di JMG. Tetapi mereka maklumkan kepada saya ia belum boleh diumumkan.

"Sebab ia melibatkan prosedur JMG. Saya pun tidak pasti (bila akan umum), tunggu mereka sahaja," katanya lagi.

Sebelum ini media melaporkan, pihak produksi penggambaran yang mengakibatkan kerosakan fosil berusia jutaan tahun dan dinding di Gua Masoorat di sini, sudah dikenakan denda.

Turut dilaporkan kerajaan negeri Perak akan mengambil tindakan tegas dan menuntut ganti rugi daripada syarikat produksi drama yang menjalankan penggambaran di lokasi berkenaan, sehingga menyebabkan kerosakan pada khazanah dan warisan negara.