IPOH: Kira-kira 100 orang masyarakat India dari Parlimen Tambun di sini, diraikan dalam Majlis Rumah Terbuka Sambutan Deepavali Parti IPF Bersama BN Parlimen Tambun, hari ini.
Para penerima yang hadir menerima bantuan berupa barangan keperluan dapur di samping sumbangan wang tunai bagi menceriakan sambutan Deepavali yang disambut semalam.
Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Aminuddin Md. Hanafiah ketika hadir menyampaikan sumbangan itu berkata, dengan sumbangan itu diharapkan sedikit sebanyak meringankan beban mereka yang berkenaan.
"Saya lihat semangat masyarakat India yang menyambut Deepavali masih lagi menebal, dan kita berharap Deepavali tahun ini akan memberi cahaya untuk mereka harungi cabaran mendatang.
"Kita akan berdepan dengan cabaran, tapi saya rasa kalau kita mempunyai kerajaan yang kuat dan stabil serta mampu mengurus tadbir negara dengan baik selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"InsyaAllah negara dan rakyat mampu menghadapi cabaran tersebut, sempena hari Deepavali ini saya harap agar sahabat kami dari kaum India dapat fikirkan sebaik mungkin apa hala tuju masa depan negara, buat pilihan tepat pada PRU15," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan dan ramah mesra ketika Majlis Rumah Terbuka Sambutan Deepavali Parti IPF Bersama BN Parlimen Tambun, di Medan Klebang Restu, di sini pada Selasa.
Hadir sama barisan Ahli Majlis, Datuk Azizul Kama Abd Aziz dan Datuk Mazlan Abd. Rahman.
Sementara itu, Mazlan berkata penduduk di Parlimen Tambun wajar membuat pilihan terbaik pada PRU15, demi menjamin kelangsungan semua kaum terjaga.
Katanya lagi, apa lebih penting ialah kestabilan daripada pelbagai sudut termasuk ekonomi, pendidikan semua kaum diberikan keutamaan.