IPOH - Kebajikan ahli keluarga pemilik Restoran Rose Pulut Ayam, Allahyarham Azranawi Radzi yang meninggal dunia dalam kemalangan baru-baru ini mendapat perhatian Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak (MAIPk)

Allahyarham Azranawi dan isterinya, Rosnah Ahmad terkorban dalam kemalangan jalan raya pada 24 Oktober lalu di Lenggong.

Dalam kejadian itu, pasangan suami isteri tersebut terkorban apabila motorsikal yang dinaiki merempuh sebuah kereta yang keluar secara mengejut dari simpang kanan di Jalan Kuala Kangsar-Pengkalan Hulu.

MAIPk dalam kenyataan memaklumkan, Bahagian Agihan Zakat MAIPk telah menziarahi ke rumah Allahyarham di Manjoi kelmarin.

"Pihak MAIPk diwakili Pengurus Bahagian Agihan Zakat MAIPk hadir menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban keluarga dan turut memberikan sokongan moral kepada anak-anak.

"Insya-Allah, bantuan yang bersesuaian juga akan dipertimbangkan dalam tempoh masa terdekat," ujar kenyataan itu.

Seluruh ahli keluarga ternyata masih terkejut dan belum dapat menerima hakikat ketentuan takdir Allah SWT yang berlaku tanpa diduga ini.

Kini fokus mereka adalah bagi menguruskan kebajikan empat orang anak-anak arwah pasangan ini yang masing-masing berumur tujuh, sembilan 14 dan 16 tahun.