KUALA KURAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melalui Zon Maritim Kuala Kurau menahan sebuah bot fiber bersama tiga kru warga asing Myanmar, di kedudukan 7.4 batu nautika barat daya muara Kuala Kurau, sekitar jam 11 pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan Azman Hamid berkata, semasa rondaan rutin di perairan Kuala Kurau, pasukan bot peronda Maritim Malaysia telah mengesan bot terbabit dalam keadaan mencurigakan dan dirapati untuk pemeriksaan.

"Hasil pemeriksaan menemukan, seramai tiga kru warga asing Myanmar termasuk tekong berumur antara 27 hingga 34 tahun yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

"Pemeriksaan lanjut mendapati, bot itu memiliki lesen yang sah namun tekong gagal mengemukakan dokumen kebenaran menggunakan kru warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

"Bot itu juga, tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya selain spesifikasi enjin bot tidak sama seperti yang didaftarkan dalam buku lesen," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, kesemua kru, bot dan peralatan menangkap ikan ditahan sebelum dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.

Katanya lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen.

Maritim Malaysia akan terus komited dalam usaha membanteras kegiatan jenayah dan salah laku di laut.

Sebarang aduan dan kecemasan, orang ramai boleh melaporkannya kepada Maritim Malaysia di talian MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919 untuk tindakan segera.