IPOH - Bukan sahaja mengambil berat kebajikan warga kota, malah Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) turut prihatin dengan mengambil berat keadaan kakitangan sendiri.

Kebajikan petugas MBI, Haizul Yit mendapat perhatian Datuk Bandar Ipoh, Dato' Rumaizi Baharin@Md Daud apabila menyantuni keluarganya.

Petang tadi, Datuk Bandar Ipoh menyampaikan sumbangan kerusi roda elektrik bernilai RM1,950 bagi keperluan isteri Haizul, Zaitun Ibrahim di runah sewa mereka di Flat Kinta Heights.

Zaitun merupakan orang kelainan upaya (OKU) kerana dilahirkan tanpa tangan kanan dan kaki ketika ini menggunakan kerusi roda biasa.

Bagi menampung keperluan rumahtangga, pasangan ini menjual donat yang dibuat sendiri di sekitar Ipoh terutamanya di Padang Polo pada waktu petang

Turut disampaikan ialah barangan makanan bernilai RM700.

Menurut Rumaizi, MBI telah mengambil inisiatif mewujudkan Program MBI Prihatin sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, lebih RM3 juta telah dibelanjakan bagi membantu meringankan beban penduduk, peniaga, anggota dan mantan anggota MBI dalam meneruskan kehidupan mereka.

"Ramai yang terkesan dalam situasi pandemik, endemik Covid-19 dan masih diteruskan sehingga kini.

"Perbelanjaan ini dibiayai oleh MBI serta rakan strategik seperti Pasar Raya Econsave, Kinta Properties, Kuala Lumpur Kepong (KLK), Chang Jiang serta penaja lain," ujarnya.

Turut hadiri ialah Pengurus Econsave Chemor. Shah Effendy Rosman.

Jelas Rumaizi lagi, pihaknya berharap sumbangan tersebut akan membantu meringankan beban Puan Zaitun Ibrahim dalam meneruskan kehidupan.

"Semoga program MBI Prihatin akan terus menjadi platform MBI untuk menjadikan Ipoh Bandaraya Bestari Sejahtera," ujarnya.