IPOH: Pertambahan pembukaan kawasan baharu untuk pembangunan berpotensi menyebabkan pencemaran air sungai, akibat hakisan tanah dan pembuangan air sisa buangan dari projek pembangunan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau, Mohd Akmal Kamarudin berkata, itu antara cabaran getir yang perlu ditangani buat masa sekarang.

Mohd Akmal, turut meletakkan pengharapan supaya semua pihak dapat memastikan pelaksanaan kawalan kerja tanah yang berkesan tanpa gagal. 

"Sewajarnya tindakan perundangan bukan pilihan bagi mengawal pencemaran kerana ia merupakan tindakan ke atas pencemaran yang telah berlaku.

 "Sebaliknya, pencemaran ini dapat ditangani semasa peringkat perancangan lagi, dan diimplimentasikan semasa peringkat pelaksanaan.

 "Justeru itu, komitmen semua pihak yang berkepentingan sama ada penggerak dan pemaju projek, pihak kerajaan, pihak swasta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) adalah dituntut.

 "Supaya semua pihak memainkan peranan masing-masing bagi mengekalkan kelestarian alam sekitar di kawasan projek pembangunan masing-masing," katanya.

 Beliau berkata demikian dalam teks ucapan mewakili Menteri Besar, Dato’ Saarani Mohamad sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) Peringkat Negeri Perak 2022, di sini pada Sabtu.

 Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak, Rosli Zul.

 Dalam pada itu, Saarani berkata, dunia kini berdepan dengan pelbagai cabaran sususlan perubahan iklim.

 Katanya lagi, komitmen dan kerjasama serantau serta antarabangsa amat diperlukan bagi menanganinya.

 "Perubahan iklim kini dirasai di setiap negara dan benua, antaranya cuaca berubah-ubah secara melampau, kenaikan paras air laut serta bencana alam.

 "Bertindak (Action) merupakan langkah kita seterusnya. ‘Bertindak’ ini bermaksud, setiap daripada kita, perlu memainkan peranan masing-masing.

 "Tidak kira di mana sekalipun, agar setiap tindakan yang dilakukan, mampu memberikan impak positif kepada persekitaran," katanya lagi.

 Tambahnya, penggunaan plastik sekali guna juga merupakan ancaman besar kepada kelestarian alam sekitar.

 "Plastik sekali guna yang biasa digunakan seperti beg plastik pembelian runcit, botol air minuman mineral, pembungkusan makanan, penyedut minuman serta sudu garpu plastik.

 "Contoh plastik yang disebutkan ini biasanya digunakan pakai buang dan bukan sumber berharga untuk digunakan semula.

 "Bagi menangani pencemaran plastik sekali guna ini dan selaras dengan titah Diraja Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan semasa Perasmian Mesyuarat Pertama Tahun Kelima Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Keempat Belas.

 "Kerajaan negeri mangambil inisiatif merangka garis panduan pelaksanaan kempen tiada beg plastik melalui caj pencemaran oleh pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya.

 Saarani berkata ia dilaksanakan pada hari sabtu setiap minggu kepada semua premis perniagaan sedia ada dan premis perniagaan baharu yang akan mula beroperasi pada tahun 2023.