IPOH: Majis Bandaraya Ipoh (MBI) muncul juara bagi dua kategori Pertandingan Pengumpulan Buangan Elektrik & Elektronik (e-Waste) Sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2022 (HASN) Peringkat Negeri Perak.

Kategori tersebut membabitkan Pihak Berkuasa Tempatan Buangan Elektrik dan Elektronik (e-Waste)Terbanyak dan Penganjur Program Bilangan Pengumpulan e-Waste Terbanyak.

Dalam pada itu, dua buah sekolah dalam pentadbiran MBI turut memenangi kategori masing-masing menerusi pertandingan tersebut.

Sekolah tersebut ialah SMK Raja Perempuan, Jalan Batu Bungkal menjadi juara bagi kategori Sekolah Menengah bagi Pengumpulan e-Waste Terbanyak.

Manakala SK Rapat Setia pula mendapat tempat kedua kategori Sekolah Rendah untuk Pengumpulan e-Waste Terbanyak.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, aktiviti itu bukan sahaja dapat meningkatkan prestasi perkhidmatan secara holistik.

Bahkan, seterusnya mencapai sasaran bandar raya Ipoh terbersih menjelang 2023 dan menjadikan bandar raya Ipoh mampan dan berdaya huni.

HASN 2022 Peringkat Negeri Perak berlangsung dengan jayanya pada 29 hingga 30 Oktober di Kompleks Membeli-Belah AEON Midtown Falim, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi Hijau Negeri Perak, Mohd Akmal Kamarudin hadir mewakili Menteri Besar Perak untuk merasmikan program.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Perak, Rosli Zul.

Sementara itu, Rumaizi berkata MBI berperanan selaku tuan rumah bagi penganjuran program tersebut tahun ini.

Katanya lagi, MBI telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada JAS dan sebanyak 33 aktiviti melibatkan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar telah dilaksanakan setakat ini.

Beliau turut berharap program berkenaan akan menjadi titik tolak untuk mencapai hasrat menjadikan Ipoh Bandaraya Bestari Sejahtera dan Perak Sejahtera.