IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan membentangkan kertas kerja bertajuk, "Transforming Ipoh Old Town into a Smart, Walkable and Low Carbon City: Problems and Challenges faced by Ipoh City Council" di Singapura pada November ini.

Pembentangan tersebut bertitik tolak daripada jemputan Ministry of National Development Singapore di Temasek Foundation Leaders in Urban Governance Programme (TFLUGP).

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, menerusi platform ini bandar Ipoh dapat berkongsi pelan strategik dan pelan tindakan yang telah dibangunkan oleh pihak Majlis dengan bandar raya lain yang menyertai program itu.

"Program ini akan berlangsung pada pada 21 hingga 25 November 2022 di Singapura.

"Penglibatan ini penting bagi perkongsian amalan terbaik dalam pelaksanaan inisiatif bandar rendah karbon dan bandar pintar di peringkat antarabangsa.

"Selain peluang untuk jalinan kerjasama dan perjanjian persefahaman dengan negara-negara dikenal pasti, membabitkan peluang pelaburan baharu dan dana bagi pelaksanaan projek bandar rendah karbon dan bandar pintar di Ipoh," katanya.

Rumaizi berkata demikian ketika berucap dalam Mesyuarat Penuh Majlis bulan Oktober di Dewan Mesyuarat MBI, di sini pada Isnin.

Tambahnya, tiga peserta akan mewakili MBI ke program tersebut iaitu Ahli Majlis, Dr. Richard Ng yang mewakili Datuk Bandar Ipoh, Setiausaha Bandaraya, Ahmad Munir Ishak serta Pengarah Kerja dan Bangunan, Ir. Ts. Arif Mohd Zainudin.

TFLUGP merupakan program tahunan yang berlangsung selama lima hari bagi membolehkan para peserta mempelajari cara Singapura mengatasi cabaran bandarnya.

Ia melalui pendekatan keseluruhan kerajaan untuk mewujudkan suasana bandar padat yang sangat sesuai untuk didiami.  
 
Program ini merangkumi sesi perkongsian mengenai topik seperti tadbir urus bandar, perancangan induk dan pembangunan bersepadu, pengurusan tanah, pengurusan air bandar, alam sekitar lestari, dan pembiayaan bandar.  
 
Penyampaian melalui sesi dialog eksklusif dengan pemimpin Singapura membolehkan para peserta mendapat pandangan dan pengetahuan tentang strategi pembangunan bandar tersebut.
 
Konsep program ini ialah sesi pelan tindakan yang dibimbing pakar, di mana peserta boleh mengadakan bengkel mengenai cabaran utama bandar mereka bersama pakar Singapura dan bandar lain di dunia.