IPOH: Para pemilik pegangan yang gagal menjelaskan tunggakan cukai taksiran bakal berdepan tindakan Tahanan Harta Alih dan dinasihatkan melunaskan pembayaran dalam tempoh 14 dari hari surat tersebut diserahkan.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin bagaimanapun berkata, setakat ini Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sentiasa membuka ruang perbincangan dalam bentuk rundingan kepada pemilik pegangan yang berdepan masalah.

"MBI telah melaksanakan tindakan Tahanan Harta Alih terhadap pemilik pegangan yang gagal menjelaskan tunggakan cukai taksiran.

"Oleh yang demikian, pemilik-pemilik pegangan tersebut perlulah mengambil langkah segera dengan membuat bayaran sepenuhnya dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat Tahanan Harta Alih diserahkan.

"MBI amat mengalu-alukan kehadiran pemilik pegangan yang mempunyai masalah dalam pembayaran tunggakan bil cukai taksiran untuk hadir ke MBI.

"Kerana ruang perbincangan dalam bentuk rundingan sentiasa terbuka dengan menawarkan bayaran secara ansuran mengikut kemampuan pemilik pegangan," katanya.

Rumaizi menambah, jika gagal berbuat demikian, waran tahanan akan dikeluarkan oleh MBI, dengan kos tahanan akan dibiayai oleh pemilik pegangan.

Selain itu, harta alih kepunyaan pemunya boleh disita mengikut Seksyen 148, Akta 171 iaitu jumlah tunggakan yang belum dibayar sehingga RM1,000 akan dikenakan bayaran waran tahunan RM150.

Manakala, jika tunggakan yang belum dibayar melebihi RM1,00 akan dikenakan sebanyak RM300.

Dalam pada itu, beliau berkata MBI akan memperkasa pendigitalan bil menerusi aplikasi yang akan dibangunkan, di mana ia boleh dicapai melalui telefon pintar.

"Pembangunan aplikasi ini melibatkan khidmat e-billing iaitu pembayaran dalam talian MBI yang menawarkan kemudahan semak, cetak dan bayar secara digital," katanya.

Pendigitalan ini menyumbang kepada usaha kelestarian alam sekitar apabila penggunaan kertas dapat dikurangkan serta memastikan pengguna menerima bil tepat pada masanya dan membuat bayaran secara atas talian tanpa perlu pergi ke kaunter.
 
Perancangan untuk melaksanakan perkhidmatan pendigitalan bil akan bermula pada tahun depan, bagi menggantikan penghantaran bil secara fizikal.
 
"Saya berharap agar warga Ipoh lebih serius dalam menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pembayar cukai demi kepentingan dan kesejahteraan bersama," katanya.