GOPENG - Akan ada sesuatu yang luar biasa daripada Perikatan Nasional (PN) Parlimen Gopeng pada pencalonan nama yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan bertanding semua kerusi di Parlimen Gopeng pada PRU15 nanti.

Pengerusi Bersatu Gopeng, Ahmad Ishak berkata, selain Parlimen Gopeng, tiga lagi kerusi ialah Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rapat, Simpang Pulai dan Teja.

Menurutnya, semua nama calon telah diserahkan dan pengumuman rasmi mengenainya akan dibuat dalam masa terdekat.

"Ada sesuatu yang luar biasa (mengenai calon) yang bakal diketengahkan, apa dan bagaimana, tunggulah apabila ia diumumkan kepimpinan PN negeri nanti.

"Kerusi Parlimen Gopeng akan menjadi pemangkin dan sangat penting pada PN serta rakan-rakan komponen lain," ujarnya ketika ditemui semalam.

Difahamkan, PN menerusi Bersatu juga akan meletakkan calon kaum India untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Pulai.

Menjelaskan perkara itu kata Ahmad, calon tersebut merupakan ahli bersekutu Bersatu dan individu yang berpengaruh dalam kalangan komuniti setempat.

“Mesej kita adalah untuk menunjukkan bahawa kita berbesar hati untuk meletakkan calon dalam kalangan masyarakat India.

"Di Gopeng ini kita ada ramai ahli bersekutu, jadi kita menghargai peranan mereka dalam menggerakkan jentera dan kita akan bergerak secara berpasukan bersama Pas untuk memenangkan calon PN," katanya. -PERAKTASTIC-