IPOH- Bakal jemaah umrah yang telah mendaftar diingatkan supaya bertenang berhubung isu kenaikan harga tiket penerbangan dan kejatuhan kadar tukaran matawang.

Setiausaha Agung, Persatuan Pengendali Umrah Haji dan Ziarah Perak (PUHAZ), Abdul Jabar Kahar berkata syarikat-syarikat yang beroperasi di bawah naungan PUHAZ terpaksa  mencari solusi bagaimana menangani isu berkenaan terutamanya pakej-pakej yang telah dipersetujui oleh jemaah.

“Kebanyakan syarikat-syarikat sudah menjual pakej-pakej umrah, namun wujud kekangan untuk  meneruskan pakej-pakej kerana isu kadar kenaikan itu sangat tinggi berbanding dari tahun-tahun sebelum ini.

“Kadar kenaikan untuk satu tiket penerbangan ialah dari RM 1,000-RM 1,500, ini sangat mengejutkan. Tambahan pula, kejatuhan kadar tukaran matawang juga sekali gus melibatkan  kos hotel, pengangkutan dan biayaan lain di Arab Saudi turut berubah.

“Hal ini menyebabkan pakej yang telah diwar-warkan juga akan berubah mengikut keadaan semasa. Pihak PUHAZ telah berbincang dan mengemukakan beberapa cadangan untuk syarikat dan jemaah yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Beliau juga mengingatkan kepada para jemaah yang telah menjelaskan bayaran kepada syarikat-syarikat agar tidak berasa ragu dan risau mengenai status bayaran mereka.

“Semua transaksi bayaran akan tertakluk dan termaktub dibawah Jadual Keempat Akta Industri Pelancongan (subperenggan 6(1)(m)(ii)-Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan, di mana semua transaksi adalah terpakai sehingga persetujuan dan tarikh baharu akan ditetapkan untuk meneruskan kembali menunaikan umrah.

Cadangan-cadangan yang disarankan kepada bakal jemaah ialah:

  •  Para jemaah diminta untuk membuat penambahan bayaran pakej sebanyak RM1,000 – RM 1,500 bagi setiap pakej pilihan.
  •  Para jemaah dibenarkan menukarkan pakej kepada pakej lain, contohnya Pakej Emas tukar ke Pakej Gangsa.
  •  Para jemaah boleh membuat pilihan untuk menukarkan pakej ke tarikh yang lain, mengikut tarikh yang ditawarkan oleh syarikat masing-masing.
  •  Para jemaah boleh memohon pemulangan semula bayaran untuk pakej yang telah dikemukakan kepada pihak syarikat.

-Peraktastic-