LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Perak menahan sebuah bot nelayan asing (BNA) Indonesia di kedudukan 14 batu nautika barat laut Pulau Jarak sekitar jam 9.45 pagi, semalam.

Pengarahnya, Kepten Maritim Mohd Hambali Ya'akup berkata, bot tersebut ditahan kerana dikesan memasuki perairan Malaysia semasa KM Nyalau sedang melaksanakan rutin rondaan di lokasi berkenaan.

"Hasil pemeriksaan oleh pasukan operasi mendapati, bot pukat rawai yang tidak bernombor pendaftaran itu dikendalikan oleh lima kru.

"Termasuk tekong warga Indonesia berusia lingkungan 14 hingga 40 tahun disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Dalam pada itu beliau berkata, bot ronda Maritim Perak juga berjaya menahan dua bot nelayan tempatan di sekitar 5.5 batu nautika barat daya Pulau Dua kira-kira jam 12.30 tengahari.

"Hasil pemeriksaan awal mendapati, bot pertama dikendalikan oleh empat kru termasuk tekong warga tempatan berusia lingkungan antara 31 hingga 50 tahun, disyaki menangkap ikan di luar kawasan yang dibenarkan.

"Sementara itu, pemeriksaan ke atas bot kedua pula mendapati, ia dikendalikan tiga kru termasuk tekong warga Myanmar berusia lingkungan umur 43 hingga 49 tahun.

"Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 iaitu menggunakan warga asing tanpa permit dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63, atas kesalahan memasuki Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan serta tidak mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah.

"Kedua-dua bot dan kru ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63," katanya lagi.

Jelasnya, bagi kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985, sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM6 juta bagi nakhoda dan RM600,000 ribu bagi tiap-tiap anggota kru.

Manakala bagi kesalahan 8 (b) akta yang sama, sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak kurang dari dua tahun atau kedua – duanya sekali.

"Di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen pula, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM 10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali berserta sebatan tidak melebihi enam sebatan," katanya.

Sebarang aduan jenayah dan insiden kecemasan di laut boleh dilaporkan ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 bagi tindakan segera.