SIMPANG PULAI: Pelancaran 117 unit Rumah Teres dua tingkat kos sederhana Rumah PerakKu II, Fasa 1B - Melur yang berharga RM140,000 di Simpang Pulai di sini mampu menambah lebih banyak peluang untuk rakyat memiliki kediaman sendiri.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, projek yang dibangunkan Naluri Majujaya Sdn Bhd, sebuah syarikat usahasama di antara MB Inc dan M K Land itu nanti akan menjadi satu lagi harapan kerajaan negeri untuk membantu rakyat.

"Dengan pelancaran projek tersebut, ia dapat membantu rakyat terutamanya mereka yang mempunyai pendapatan isi rumah sebanyak RM4,850 ke bawah, untuk memiliki kediaman sendiri yang bukan hanya mampu milik bahkan berkualiti.

"Kami akan terus melaksanakan projek-projek rumah mampu milik yang berkualiti seperti ini melalui usahasama dengan syarikat-syarikat pemaju seperti M K Land,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Penyerahan Kunci 137 unit Rumah Teres 2 tingkat Kos Rendah Rumah PerakKu I - Kenanga dan juga pelancaran projek tersebut baru-baru ini.

Hadir sama Pengerusi Eksekutif MK Land Holdings Berhad, Felina Mustapha Kamal; Ketua Pegawai Eksekutif MK Land Holdings Berhad, Datuk Faris Yahaya dan Ketua Pegawai Eksekutif LPHP, Mohamed Akmal Dahalan.

Tambah Nolee, M K Land melalui usahama dengan Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) berjaya membuktikan yang mereka amat peka dengan denyut nadi dan hati rakyat dalam membantu kerajaan negeri menyediakan rumah mampu dimiliki oleh rakyat dari golongan B40.

Sementara itu, Faris berkata, sebanyak 56 unit Rumah PerakKu II yang dilancarkan baru-baru ini telah habis dijual dalam tempoh dua jam pelancarannya.

"Bagi Rumah PerakKu kos rendah, sederhana dan mampu milik yang berharga RM70,000, RM90,000 dan RM140,000.

"Dengan tempoh pembiayaan maksimum selama 35 tahun dan anggaran kadar faedah pinjaman sebanyak 3.8 peratus, gaji yang layak untuk permohonan dianggarkan RM1,776 ke RM2,554 sebulan.

"Ia membabitkan bayaran bulanan di antara RM388 sehingga RM777 yang mampu dibeli golongan B40," katanya.

Katanya, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam membangunkan projek ini dan menyasarkan kawasan sekitar Simpang Pulai sebagai kawasan ‘New Growth Centre’ untuk bandar raya Ipoh.

Sebelum ini, M K Land membuktikan di sebalik kesulitan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), mereka mampu menyiapkan 137 unit rumah teres kos rendah mengikut jadual baharu yang ditetapkan.