Ipoh: Semenjak negara melangkah ke fasa endemik,  sektor pelancongan menampakkan peningkatan menggalakkan dan eco pelancongan antara produk yang menjadi pilihan dan popular di kalangan pelancong masa kini.

Datuk Bandar Ipoh, Dato' Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata negeri Perak khusunya Bandaraya Ipoh sememangnya kaya dengan keunikan produk eco pelancongan.

"Sebagai sebuah bandaraya berteknologi dan berdaya sain, Ipoh mempunyai keistimewaan tersendiri kerana ia dikelilingi oleh bukit batu kapur berusia jutaan tahun yang menjadi sumber kepelbagaian biologi, warisan budaya dan kesenian.

"Selaraskan dengan itu, MBI telah memajukan berapa kawasan pelancongan berasaskan eko iaitu Tasik Cermin, Qin Xing Ling, Gua Masoorat dan Gunung Lang.

"Ini merupakan destinasi terbaharu yang dibangunkan di Ipoh dan dijangka akan menjadi tumpuan pelancong pada masa hadapan di samping mempromosikan bandaraya Ipoh sebagai satu-satunya bandaraya yang terletak di dalam kawasan Geopark atau lebih tepat lagi Geopark Lembah Kinta," katanya dalam satu kenyataan baru-baru.

Menurutnya lagi, kepelbagaian biologi adalah warisan dan mestilah diurus secara lestari dan digunakan dengan bijak kerana ia boleh menyumbang kepada sosio ekonomi negara.

Di dalam Pelan Tindakan Penjenamaan Pelancongan Wilayah Greater Ipoh 2025, Bandaraya Ipoh akan dibawa untuk pencalonan sebagai ahli UNESCO CREATIVE CITY NETWORK (UCCN) melalui tema Muzik menjelang tahun 2023.

"Pencalonan Ipoh sebagai ahli UCCN dijangka akan membawa beberapa impak dan pulangan ekonomi kepada Majlis Bandaraya Ipoh amnya dan khasnya kepada Bandaraya Ipoh.

"Dengan status UCCN, saya yakin Ipoh layak untuk menganjurkan acara-acara dalam program 'Network' UNESCO yang sekali gus memberi impak ekonomi kepada seluruh rantaian penawaran pelancongan termasuk komuniti tempatan.