Ipoh: Permintaan tempahan penginapan hotel semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang bakal berlangsung beberapa hari lagi dijangka semakin meningkat.

Pengerusi Persatuan Hotel Bajet & Bisnis Malaysia (MyBHA) Perak, Zamari Muhyi mengingatkan orang ramai yang ingin melancong atau pulang mengundi agar membuat tempahan awal bagi mengelakkan kegagalan mendapatkan bilik penginapan.

“Setakat ini saya telah menerima banyak panggilan daripada pengunjung untuk menempah penginapan sepanjang tempoh aktiviti berkempen PRU15.

“Berdasarkan pengalaman lepas, tempahan hotel akan meningkat sebaik sahaja penamaan colon. Ini benar terbukti, kerana mereka yang terlibat dalam aktiviti PRU akan tinggal sekurang-kurangnya 10 hingga 20 hari sehingga selesai pilihan raya.

“Saya berharap, tindakan awal membuat tempahan penginapan dapat melancarkan urusan hari mengundi. Sekiranya gagal berbuat demikian, mereka mungkin terpaksa membayar untuk ‘homestay’ haram atau penginapan sawa jangka pendek tanpa lesen.

“Sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini, tetamu yang menginap mungkin tidak mendapat bantuan yang perlukan daripada majlis tempatan kerana penginapan itu tidak dikawal,” katanya yang kini sibuk mengelolakan kemasukkan penyewa di tiga hotelnya di Sungkai, Slim River dan Tapah.

Sementara itu, Pengarah Jualan dan Pemasaran Impiana Hotel, Normah Ahmad berkata tempahan penginapan awal seharusnya dilakukan awal bagi melancarkan urusan serta tidak terlepas tawaran promosi dari pihak hotel.

“Sememangnya telah menjadi budaya rakyat Malaysia di mana sering bertindak di saat akhir untuk membuat tempahan penginapan dan akhirnya merugikan mereka sendiri.

“Kami sering menerima tempahan saat akhir yang bukan sahaja pada musim sekolah tetapi di musim pilihan raya ini. Saya berharap PRU yang tinggal beberapa hari sahaja lagi akan digunakan sebaik mungkin untuk mereka yang ingin pulang mengundi.

“Sempena bulan PRU ini, pihak kami memberi potongan harga 10% untuk penginapan selama tiga hari dua malam.

“Pengunjung juga berpeluang menikmati potongan harga 10% kepada pengguna kad Maybank untuk makanan ala-carte sehingga April tahun hadapan,” ujarnya. -PERAKTASTIC-