IPOH: Keputusan UMNO untuk menubuhkan kerajaan bersama Pakatan Harapan (PH) di negeri Perak disifatkan sebagai suatu resipi untuk bencana (recipe for disaster).

Pengerusi Perikatan Nasional Negeri Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan, tindakan itu sekali gus mengesahkan ura-ura sebelum pilihan raya bahawa pemimpin UMNO sedang mengusahakan suatu bentuk jajaran baharu dengan PH semata-mata untuk kekal berkuasa.

"Kami juga tertanya-tanya di manakah keputusan Perhimpunan Agung Umno "No Anwar, No DAP?"

"PN Perak tetap dengan pendirian untuk menjadi pembangkang jika tidak dapat membentuk kerajaan negeri dengan mana-mana pihak yang bersedia menerima prinsip perjuangan PN iaitu Prihatin, Bersih dan Stabil ," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ahmad Faizal Azumu yang juga Timbalan Presiden BERSATU mengulangi pendirian bahawa PN Negeri Perak tidak akan sama sekali bekerjasama dengan PH.

Ia susulan katanya, di dalam gabungan tersebut ada parti DAP yang ditolak oleh sebahagian besar orang Melayu atau dengan mereka yang tercemar dengan masalah rasuah.

Terdahulu, media melaporkan BN dan PH hari ini, bersetuju untuk mengadakan kerjasama bagi membentuk kerajaan negeri Perak.

PRU-15 menyaksikan BN hanya memenangi sembilan daripada 59 kerusi DUN Perak, menjadikan ia keputusan terburuk pernah direkodkan parti itu.

Keputusan di DUN sama turut menyaksikan PN berjaya menawan 26 kerusi, manakala PH memenangi 24 kerusi.