IPOH: Pemimpin perlu membentuk negara yang maju dan ke hadapan di samping mengetepikan perbalahan yang merugikan kepentingan awam.

Selain itu, pemimpin juga dinasihatkan sentiasa bersikap proaktif dalam mengemudi pentadbiran kerana rakyat mahukan kepimpinan yang berjiwa besar bukan berjiwa sempit, berwawasan tinggi bukan semata-mata mendamba jawatan.

Menerusi teks khutbah Jumaat di seluruh Perak dengan tajuk 'Amanah Rakyat: Kewajipan Melaksanakannya', mereka juga perlu mengamalkan budaya kepimpinan yang matang, demokrasi yang sihat,menyemai budaya etika serta nilai moral dalam urusan pentadbiran.

"Berusaha mengotakan janji serta tawaran-tawaran yang pernah dihidangkan semasa proses berkempen meraih undi.

"Penuhi dengan baik ciri-ciri pemimpin yang dinyatakan Allah SWT dalam surah al-Haj ayat 41 itu dan insyaAllah bantuan Allah SWT akan mengiringi ketika menjalankan amanah pentadbiran.

"Ketika diamanahkan tanggungjawab kepimpinan; sekurang-kurangnya ada dua perkara yang perlu diberikan perhatian iaitu kewajipan memenuhinya dengan penuh kesungguhan.

"Jujur dan saksama kepada semua pihak serta disulami kesedaran bahawa ia akan disoal oleh Allah SWT di hari pembalasan," jelasnya.

Teks khutbah berkenaan itu turut memberi penekanan supaya pemimpin menerapkan budaya intelektual serta kepimpinan yang tinggi sahsiah dan bermoral tinggi.

Termasuk tidak melakukan pecah amanah, budaya rasuah, meningkatkan daya pengetahuan, berkemampuan berbahas secara berhemah sama ada dalam Dewan Rakyat, Dewan Negeri mahu pun bicara sesama pihak luar, apatah lagi di peringkat antarabangsa.

Jelasnya lagi, fokus utama ialah keperluan rakyat, selain isu global yang memperlihatkan dunia mengalami perubahan, malapetaka dan bencana yang perlu difikirkan secara strategik dan bersama.

"Kerahan idea bersama kalangan pemimpin dalam menangani krisis yang sedikit sebanyak memberi ancaman kepada kehidupan manusia seperti krisis kekurangan bekalan makanan, bencana banjir, jerebu, kemungkinan munculnya virus lain yang membayahakan dan sebagainya.

"Mengembeleng tenaga memacu negara ke arah anjakan paradigma kemajuan sosial, teknologi, ekonomi dan sebagainya.

"Memikirkan plan strategik yang dapat mengembalikan keyakinan pelabur terhadap keupayaan ekonomi negara.

"Menyediakan perkhidmatan dan keperluan masyarakat seperti meningkatkan peluang pekerjaan, pendidikan berkualiti, perkhidmatan kesihatan yang ditambah baik, mengurangkan inflasi yang membebankan kos sara hidup dan sebagainya," katanya lagi.

Dalam pada itu, teks khutbah itu turut menasihatkan ummah untuk teguh bersatu padu demi negara.

"Biduk lalu kiambang bertaut, keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini, ummah seharusnya kembali tautkan ukhuwah, kukuhkan persaudaraan dan bina persefahaman bersama ke arah Malaysia yang harmoni dan maju.

"Direkodkan sebanyak 15.5 juta rakyat Malaysia yang keluar mengundi menyamai nisbah 73.8 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi bagi peringkat Parlimen.

"Manakala 1.3 juta rakyat Perak dengan nisbah 66.7 peratus mengundi bagi pemilihan Dewan Undangan Negeri pada hari berkenaan.

"Tangan-tangan rakyat yang mengundi ini, pemilihan yang dizahirkan atas kertas- kertas undian, juga calon yang terpilih seterusnya akan dilantik menjadi di antara 222 orang Ahli Dewan Rakyat dan 59 orang Ahli Dewan Negeri Perak.

"Kini mereka menanggung beban rakyat di pundak bahu, membawa mandat dan amanah besar; tugasan yang mencabar untuk disempurnakan dalam tempoh lima tahun," katanya.

Katanya, dalam memenuhi amanah rakyat, menjadi satu kemestian untuk pemimpin mempunyai ciri-ciri seperti berani, jujur, mementingkan kepentingan rakyat melebihi kepentingan diri serta berintegriti.

Selain itu merendah diri, cekap mengurus, berlapang dada, berlatar belakangkan pendidikan berkualiti, memahami realiti dunia semasa, mempunyai keupayaan profesional, iman yang kuat serta takwa yang mendalam terhadap Allah SWT.

"Lazimnya rakyat yang mengundi disulami harapan; harapan ingin melihat generasi kepimpinan yang mengutamakan agenda transformasi pentadbiran yang telus dan cekap.

"Disusuli penerapan nilai moral dan etika dalam segenap aspek agar perkara-perkara yang mencemarkan imej negara dan merosakkan reputasinya dapat dihindarkan," katanya lagi.