MANJUNG - Pantai Peranginan Teluk Senangin, Lumut menerima kunjungan 60 orang pegawai, anggota dan keluarga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Cawangan Teluk Intan untuk melaksanakan gotong-royong.

Penglibatan mereka dalam program tanggungjawab sosial korporat ini bagi memupuk kesedaran awam terhadap kelestarian alam sekitar.

Program diketuai Ketua Cawangan KWSP Teluk Intan, Daumi Nasran Salleh itu mendapat kerjasama Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perkhidmatan Bandar Zon 3, Majlis Perbandaran Manjung (MPM).

Bahagian Kemasyarakatan, Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial MPM dalam kenyataan memaklumkan, program ini bagi memberi kesedaran kepada masyarakat terhadap kepentingan menjaga kebersihan pantai.

"Persekitaran yang bersih dan alam sekitar yang terjaga mampu memberi impak positif kepada komuniti tempatan.

"Seterusnya ia dapat menarik pelancong untuk bersama-sama mengekalkan keindahan semulajadi pantainya sebagai satu daya tarikan pelancongan yang berkekalan," ujar kenyataan itu.

Pada masa sama, penglibatan warga KWSP Cawangan Teluk Intan bersama ahli keluarga mereka turut membantu mengkomersialkan keindahan pantai Teluk Senangin.