IPOH - Keadaan lopak besar pada jalan di Terminal Bas Amanjaya (Mydin Meru Raya) dipercayai berpunca daripada injap sistem perpaipan air milik Lembaga Air Perak (LAP) di bawah jalan.

Punca berkenaan dikenalpasti susulan pemeriksaan yang dijalankan oleh pihak Puncak Emas Infra Sdn Bhd (PEISB).

PEISB dalam hantaran menerusi laman Facebook memaklumkan, pemeriksaan itu dilakukan susulan aduan yang disiarkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Ustaz Hafez Sabri.

"Pihak PEISB ingin memberi sedikit penjelasan mengenai kerja-kerja baikpulih tersebut.

"Setelah mendapat aduan tersebut, pihak PEISB telah membuat siasatan dan mengambil tindakan awal pada malam 25hb November dengan memasang peralatan pengurusan trafik di kawasan tersebut demi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

"Berdasarkan siasatan awal, punca berlakunya lopak tersebut disebabkan oleh injap sistem perpaipan air LAP di bawah jalan.

"Ia mengalami sedikit kebocoran dan perkara ini telah dimaklumkan segera kepada pihak LAP untuk tindakan," ujarnya.

Kebocoran air ini telah menyebabkan struktur jalan tersebut menjadi lemah dan rosak sehingga terbentuknya lopak air tersebut.

Pada 26hb November, dengan kerjasama pihak LAP dan PEISB, punca kerosakan tersebut telah dikenalpasti dan telah diperbaiki.

Untuk rekod, kawasan ini pernah dibaikpulih sekitar Mac lalu oleh pihak PEISB.

Pihak PEISB ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada ADUN Manjoi,LAP dan kakitangan PEISB yang telah bekerjasama memastikan keselamatan pengguna jalanraya.