MANJUNG: Khidmat anggota bomba diperlukan bagi membantu mengeluarkan seorang kanak-kanak yang terkunci di dalam kereta di pekarangan sebuah pasar raya, di sini pada Ahad.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, kanak-kanak lelaki berusia 1 tahun itu terkunci dalam kereta ketika ibunya sedang memasukkan barang ke dalam kenderaan jenis Hyundai.

Katanya lagi, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.48 malam, sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Manjung bergegas ke lokasi.

"Setibanya jentera di tempat kejadian mendapati seorang kanak-kanak telah terperangkap dalam kereta.

"Anggota bomba menggunakan peralatan khas bagi membuka pintu kereta berkenaan lalu menyerahkan mangsa kepada penjaganya," katanya hari ini.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mohd Yusuf Daud itu tamat pada jam 9.10 malam.