IPOH: Sebanyak 50 peratus daripada 6,000 premis makanan di sekitar bandar raya Ipoh didapati mencapai 'standard A' selepas pemeriksaan kebersihan dilakukan penguatkuasa Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Datuk Bandar Ipoh, Dato' Rumaizi Baharin berkata, kerjasama daripada pengusaha premis makanan amat menggalakkan dan diharapkan peratusan yang memperoleh piawaian A akan meningkat lebih banyak lagi.

“MBI mengalu-alukan cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming baru-baru ini yang mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara mewujudkan unit pemantauan kebersihan tandas awam.

“Pihak berkuasa MBI akan melakukan pemeriksaan berterusan ke atas premis makanan. Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi kebersihan persekitaran premis terutama kawasan tandas.

“MBI tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap peniaga terbabit memandangkan kementerian mengumumkan tidak membenarkan lesen perniagaan mereka diperbaharui pada 2024,” katanya kepada Ipohecho dalam sidang media selepas merasmikan pembukaan Lalaland Cafe di Jalan Lasam, Ipoh di sini hari ini .

Bagaimanapun, menurut Rumaizi, menerusi pemeriksaan yang dijalankan Januari lalu mendapati peniaga di sekitar bandar raya Ipoh tidak mengalami sebarang masalah untuk mematuhi aspek kebersihan premis.

“Saya yakin dalam pemeriksaan akan datang, peratusan yang mendapat standard B akan meningkat kepada standard A. Ini bukan masalah besar bagi mereka untuk meningkatkan tahap kebersihan premis mereka,” katanya.

Tamat//