IPOH: Para peniaga yang bakal menjalankan perniagaan di bazar Ramadan pada Mac nanti disarankan menyediakan Menu Rahmah kepada orang ramai, kata Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Menurut beliau, para peniaga bukan sahaja digalakkan menawarkan menu itu kepada orang ramai tetapi juga mengenakan harga lebih berpatutan.

"Perkara ini memang kita galakkan (Menu Rahmah) sebab sebelum ini pun sudah kita maklumkan.

"Kalau boleh kita mahu seramai mungkin peniaga tawarkan Menu Rahmah, baik untuk rakyat.

"Kita galakkan supaya bukan sekadar Menu Rahmah tetapi juga harga itu lebih berpatutan, kita juga akan bekerjasama dengan syarikat tertentu bagi memudahkan orang datang.

"Sebab kita tahu mungkin ramai yang sibuk nak beli dan sebagainya, kalau guna perkhidmatan penghantaran makanan lebih mudah, lebih besar pasaran dan dengan itu mereka (peniaga) boleh kurangkan harga," katanya.

Rumaizi berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Kafe Lalaland di Jalan Lasam, di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu, ketika mengulas lanjut berhubung penambahan tapak bazar Ramadan tahun ini, beliau berkata pihaknya sedang meneliti tiga lagi tapak bazar untuk peniaga.

Katanya lagi, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan membuka sebanyak 19 lokasi tapak bazar Ramadan tahun ini, dengan anggaran sebanyak 1,296 petak.

"Memang sudah ditutup (tapak permohonan bazar Ramadan) tetapi kita akan kaji permohonan baharu, kalau sesuai kita akan pertimbangkan untuk pemohon.

"Ada tiga tapak dalam kajian, saya jangka kalau pertambahan mungkin akan ada dalam 150 hingga 200 peniaga," katanya lagi.

Sebelum ini kerajaan memperkenalkan Menu Rahmah sebagai usaha membantu golongan miskin tegar yang memerlukan makanan siap dimasak.

Menu yang akan ditetapkan pada harga RM5 dan ke bawah itu merangkumi nasi, seketul ayam atau seekor ikan dan sayuran.