IPOH - Cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob berpendapat menu murah tidak semestinya tidak sedap dan kurang kualiti.

Beliau berkata demikian apabila diajukan soalan tentang inisiatif kerajaan dalam memperkenalkan Menu Rahmah di seluruh negara.

“Penyediaan makanan pada harga RM5 dan ke bawah itu tepat pada waktunya dan menguntungkan rakyat terutama selepas berlalunya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya menyokong Menu Rahmah ini. Namun begitu, pihak pengusaha janganlah abaikan rasa dan kualiti. Itu sangat penting.

"Sewaktu PKP dulu, ramai orang terkesan menjadikan mereka memasak di rumah dan boleh membandingkan harga makanan di restoran.

 "Jadi bila ada pilihan untuk Menu Rahmah, lebih mudah untuk masyarakat secara umumnya memilih makanan yang sesuai dengan bajet mereka," katanya dalam temubual selepas  Pelancaran Menu Baharu Hospital Pantai Ipoh di sini pada Selasa.

 Kerajaan memperkenalkan Menu Rahmah sebagai usaha membantu golongan miskin tegar yang memerlukan makanan siap dimasak.

Menu itu berharga RM5 ke bawah merangkumi nasi, seketul ayam atau seekor ikan dan sayuran.

Fazley yang juga pelakon dan penyanyi terkenal tanahair mengingatkan tiada mana-mana pihak yang menyalahguna pelaksanaan program itu agar tidak menyediakan hidangan ala kadar.

“Saya sendiri pernah mencuba Menu Rahmah di beberapa premis, didapati hidangan disediakan masih boleh diperbaiki.

"Zaman dulu, makanan di rumah semua sedap dan murah. Jadi tiada alasan untuk jadikan Menu Rahmah ini nampak murah,” ujarnya. -Peraktastic-