IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Perak yang memperkenalkan konsep bazar Ramadan mesra alam tahun ini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi berkata, para pengunjung bazar Ramadan digalakkan membawa bekas makanan sendiri manakala peniaga digalakkan menggunakan bekas makanan biodegradasi (mudah terurai).

Rumaizi berpandangan, tidak mustahil perkara itu diwajibkan bagi tahun-tahun seterusnya dalam menjaga alam sekitar serta mengelak pencemaran.

"Bagi menyokong kempen 'Low Carbon City', bazar Ramadan tahun ini mengamalkan konsep bazar Ramadan mesra alam.

"Sekarang ini kita galakkan dahulu para peniaga dan pembeli berbuat demikian, suatu hari nanti mungkin kita akan syorkan juga khemah menggunakan bahan mesra alam.

"Tetapi perlahan-lahan... sebab ini semua melibatkan kos. Kita mahu kurangkan penggunaan plastik.

"Kita lihat keadaan dahulu (wajibkan penggunaan bekas makanan biodegradasi dan bawa bekas makanan sendiri untuk tahun depan)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Februari 2023 di Dewan Mesyuarat MBI, di sini, pada Rabu

Katanya lagi, untuk tahun pertama pelaksanaan, pihaknya dalam proses mendidik masyarakat terlebih dahulu, sebelum sebarang penguatkuasaan dilaksanakan.

"Ambil masa satu hingga dua tahun dalam fasa mendidik, saya tak tahu berapa lama sebab ia ambil masa juga bergantung kepada penerimaan para peniaga," katanya lagi.

Dalam pada itu beliau berkata, peniaga juga digalakkan menyertai program kitar semula minyak terpakai bagi tujuan biofuel dengan menjual minyak masak terpakai kepada syarikat yang dilantik mengikut jadual.

Katanya selain itu, pelaksanaan kaedah pembayaran tanpa tunai dan aktiviti bersama Food Panda bagi program tersebut serta penghantaran makanan juga dilaksanakan di lokasi bazar Ramadan terpilih.