IPOH: Kerajaan negeri menerusi Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) telah menyediakan skim pembiayaan pinjaman tanpa faedah.

Skim pembiayaan itu khusus kepada usahawan tani, penternakan, perikanan dan produk hiliran bagi mengembangkan usahawan dalam bidang pertanian.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan, Salbiah Mohamed berkata, antara kriteria bagi skim pinjaman itu adalah usahawan tersebut telah mengusahakan sekurang-kurangnya enam bulan dalam bidang yang dipohon.

"Jumlah pinjaman yang kami berikan adalah daripada RM3,000 sehingga RM100,000 dan moratorium selama 6 bulan pertama.

"PPPNP juga menyediakan geran program asnaf berjaya yang menjalankan aktiviti dalam bidang pertanian untuk mengembangkan perusahaan mereka.

"Bagi mereka yang berminat untuk bermohon skim ini boleh layari laman web www.pppnp.gov.my," katanya.

Salbiah menyempurnakan penyampaian tersebut di pekarangan Stadium Indera Mulia, di sini semalam.

Selain itu, beliau bersama-sama Ketua Pegawai Operasi PPPNP, Mohd. Kahar Mukktaruddin dan Pengarah Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP), Mohamad Rozlan Mohamad Razalli turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dan pertukaran MoU antara syarikat MAMA KEEN Empire dan Syarikat Lavasse Berhad.