IPOH: Kerajaan negeri Perak menggalakkan masyarakat membudayakan aktiviti bercucuk tanam bagi mengurangkan perbelanjaan harian serta peningkatan kos sara hidup.

Pengajuran Pertandingan Urban Farming Masjid/Surau 2023, merupakan satu aktiviti pertanian  pertanian bandar sebagai satu kaedah penghasilan bahan makanan sendiri selain berpotensi menjana ekonomi komuniti setempat.

Program yang dilancarkan oleh Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad itu, membuka penyertaan sehingga 28 Februari 2023 kepada mana-mana komuniti masjid/surau di seluruh negeri Perak.

Sementara itu, usaha pemerkasaan pertanian bandar dalam kalangan pelajar-pelajar sekolahturut dilaksanakan tahun lalu menerusi pertandingan Edu Farming Sekolah 2022. Ia terbahagi kepada dua kategori iaitu Kategori A (Sekolah Menengah) dan Kategori B (Sekolah Rendah).

Sebanyak 16 buah sekolah dari daerah Kinta Utara, Kinta Selatan, Perak Tengah dan Kerian telah mengambil bahagian dalam pertandingan itu.

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Idris Shah, Gopeng muncul sebagai juara menerima wang tunai berjumlah RM6,000 beserta plak dan sijil.

Naib juara disandang oleh SMK Gunung Semanggol memenangi hadiah wang tunai RM4,000 beserta plak dan sijil. Tempat ketiga pula dimenangi oleh SMK Sri Kurau menerima RM2,000 beserta plak dan sijil.

Sementara itu, Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak menerima wang tunai RM6,000 beserta plak dan sijil. Naib johan pula diraih oleh SK Marian Convent menerima RM4,000 beserta plak dan sijil.

Tempat ketiga dimenangi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Siputeh menerima wang tunai bernilai RM2,000 beserta plak dan sijil.

Jumlah keseluruhan yang ditawarkan ialah RM36,000. Ia diselaraskan melalui kerjasama antara Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), Agrobank, Jabatan Pertanian Negeri Perak, JAIPk serta MAIPk.