IPOH: Golongan wanita yang berdepan dengan penindasan atau diabaikan suami digesa supaya bangkit dan berani tampil meluahkan masalah yang dihadapi.

Presiden Kelab Wanita Ikon Malaysia (KWIM), Datuk Normaziah Sheikh Mohamed berkata, jika masalah yang membelenggu itu dipendam, lambat laun ia boleh memberi kesan buruk khususnya kepada emosi anak-anak.

"Dari dulu lagi kita sudah mengendalikan isu seperti ini tapi bukan salah orang lain juga, salah wanita itu sendiri kerana dia tidak mahu ke depan.

"Dia tak mahu bangkit ke depan dan mengatakan yang dia ada masalah berkaitan rumah tangga, dia risau orang lain menghakimi dia... itu masalahnya.

"Jangan takut ke depan supaya kita di sini dapat bantu, banyak benda kita boleh bantu terutamanya dari sudut motivasi dan kekuatan.

"Mungkin permulaan dia takut tapi bila masalah itu 'meletup' baru dia rasa dan nampak yang ramai sudi membantu mereka khususnya badan bukan kerajaan (NGO)," katanya.

Normaziah berkata demikian sebagai mengulas apabila ditanya berhubung isu fenomena'suami curang' yang seakan-akan menjadi trend dan mendapat reaksi pelbagai daripada masyarakat.

Beliau ditemui pemberita pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kelab Wanita Ikon Perak dan Kempen "Are You Okay" Cawangan Negeri Perak di sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Wanita Ikon Perak, Naziah Pir Khan dan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Negeri Perak, Hanita Izam Abdul Rahman.

Dalam pada itu, mengulas lanjut berkenaan kempen 'Are You Ok' atau 'Awak Ok Ke', beliau berkata fokus utama adalah untuk menangani masalah psikososial yang semakin membimbangkan.

"Kita ada sembilan aktiviti yang akan dilaksanakan untuk kempen ini, salah satunya ialah KWIM Peduli, kita sediakan sokongan bantuan guaman kepada mangsa penderaan rumah tangga.

"Juga khidmat nasihat kepada wanita teraniaya, bukan saja daripada keganasan rumah tangga tetapi juga buli siber dan sebagainya," katanya.

Antara objektif kempen tersebut termasuk, membantu kumpulan sasar mengenalpastu kebolehan, minat, potensi dan kepuayaan diri serta menyediakan peluang penyelidikan dan penerbitan berkaitan isu sosial, kebajikan dan kemanusiaan.