Oleh Balqis Jazimah Zahari


IPOH: Kejohanan tenis bertaraf dunia Sanctband ITF World Tenis Tour W15 buat pertama kali dalam Malaysia diadakan di Arena Tenis Perak di Ipoh.

Kejohanan membabitkan penyertaan seramai 79 pemain wanita daripada 20 negara itu diadakan selama lapan hari bermula 12 Februari dan berakhir semalam.

Presiden Persatuan Lawn Tenis Malaysia (Tenis Malaysia), Mirzan Mahathir berkata, ia sekaligus menjadikan Ipoh sebagai lokasi 1st Leg kejohanan tenis W15 untuk wanita dalam negara.

"Kita sangat berbangga, kerana ini adalah kejohanan World Tennis Tour W15 Leg pertama (1st Leg) di dalam negara yang diadakan di Ipoh, sebelum ini tidak pernah.

"Kalau dahulu sudah beberapa kali diadakan tetapi semuanya kejohanan untuk lelaki," katanya pada sidang media di arena tenis berkenaan di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Presiden Persatuan Lawn Tenis Perak (PLTA), Fazwil Abdul Wahid.

Mirzan berkata, selepas ini kejohanan bagi Leg kedua akan diteruskan di bandaraya Kuala Lumpur dan Leg ketiga Kuching.

Beliau berkata, penganjuran W15 bertujuan menonjolkan bakat pemain tenis negara wanita untuk turut bersaing dengan pemain tenis wanita di peringkat dunia.

"Kejohanan membabitkan pemain tenis wanita daripada 20 negara, ini adalah satu peluang cerah kepada pemain wanita kita untuk lebih kehadapan dalam menyertai beberapa kejohanan bertaraf dunia selepas ini.

"Dalam tempoh seminggu kejohanan dapat berlangsung dengan lancar," katanya.

Beliau berkata, kejohanan ini juga salah satu daripada strategi untuk mengalu-alukan lebih ramai untuk menceburi sukan ini.

"Kita mahu mencungkil bakat lebih ramai pemain tenis wanita dan lelaki untuk bertanding.

"Jadi, kita akan dapat memilih ramai pemain dan meningkatkan taraf sukan tenis dalam negara," katanya.