IPOH - Kegagalan bisnes taman tema Movie Animation Park Studios (MAPS) sehingga memaksa ia ditutup telah memberikan imej negatif pada negeri Perak.

Sehubungan itu, rakyat berpendangan cadangan untuk membina sebuah taman tema baharu di negeri ini perlulah diberi penjelasan agar tidak timbul tanda tanya.

Walaupun projek yang hendak dibangunkan nanti merupakan inisiatif swasta tetapi lokasi yang melibatkan tanah kerajaan hendaklah dijelaskan kepada rakyat untuk difahami.

Pekerja swasta, Hafiz Majid berkata, kerajaan negeri khususnya agensi yang terlibat dalam projek tersebut tidak wajar berdiam sebaliknya jelaskan pada rakyat tujuan projek.

Katanya, rakyat perlu diberi pemahaman tentang sesuatu perkara jika ia melibatkan kepentingan negeri.

"Saya hanya mengetahui mengenai projek taman tema baharu ini menerusi media sosial lantas timbul tanda tanya.

"Rakyat memang tiada kuasa mutlak untuk membantah tetapi setidak-tidaknya jelaskan kepada mereka siapa-siapa yang terlibat dalam projek ini," ujarnya.

Pandangan serupa disuarakan penjaga, Shima Ramli kerana dia tidak mahu nasib serupa berlaku sepertimana pada MAPS di Meru Raya.

"Nak buka taman tema untuk rakyat biasa atau untuk pelancong luar? Kita tidak mahu rakyat hanya mampu tengok sahaja.

"Apa yang berlaku pada MAPS begitulah. Mulanya dibuka dengan megah tapi rakyat sendiri tak mampu masuk sebab tiket beratus.

"Apabila bankrap dan ditutup barulah kita tahu masalah sebenar tapi masa itu dah tak guna sebab projek melibatkan puluhan juta," keluhnya.

Sebuah taman tema akan dibina di Tanjung Tualang, Batu Gajah secara Inisiatif Kewangan Swasta (PFI) tanpa melibatkan wang kerajaan negeri.

Taman tema berkenaan dibina bertujuan menjana pendapatan untuk kerja-kerja penyelenggaraan bagi memulihara Kapal Korek Tanjung Tualang No 5 (TT5).

Memetik kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, ia dibina di atas tanah milik Perbadanan Menteri Besar (MB Inc).

“Taman tema adalah sebahagian produk sedia ada di situ seperti Maze Garden serta petting zoo (zoo haiwan jinak) bagi menjana pendapatan memulihara kapal korek berkenaan," ujar beliau.