Oleh Balqis Jazimah Zahari

IPOH: Tujuh penjaja berlesen di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz (Padang Polo) di sini menegaskan tidak bersetuju dengan cadangan penempatan semula kesemua peniaga ke lokasi baharu.

Ini kerana lokasi baharu yang dicadangkan di kawasan berdekatan disifatkan tidak bersesuaian dan tidak praktikal kepada penjaja mahupun pembeli.

Penjaja gerai Laksa Ipoh, Zulkarnain Zainal, 53, berkata, malah isu kesesakan tidak berkesudahan di lokasi ikonik bandar raya itu berpunca daripada kemasukan penjaja tidak berlesan secara tidak terkawal.

Menurutnya, kesesakan kemasukan penjaja menjadi semakin runcing sejak diberi lesen sementara ketika pandemik Covid-19.

"Kita berharap penguatkuasaan terhadap peniaga tidak berlesen diperketat oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sama sepertimana di Taman Dr Seenivasagam.

"Sepatutnya seperti mana sebelum ini lokasi penjaja di Padang Polo dikawal supaya tidak berlaku lambakan penjaja tidak berlesen yang akan membuatkan tempat ini sesak seperti sekarang ini," katanya kepada wartawan Ipoh Echo dan Peraktastic di sini.

Beliau turut mempersoalkan kewajaran cadangan memindahkan kesemua penjaja walhal masalah itu berpunca daripada peniaga tidak berlesen.

"Kenapa kami penjaja berlesen yang sudah 23 tahun berniaga pula yang perlu dipindahkan, kenapa tidak hanya pindahkan mereka yang tidak berlesen.

"Jadi dalam hal ini, kami tujuh peniaga yang berlesen di sini seakan-akan dihukum dengan isu kesesakan yang timbul.

"Kami peniaga berlesen memang tidak bersetuju, malah ia sudah disuarakan ketika mesyuarat bersama pihak MBI baru-baru ini," katanya.

Penjaja Cendol Padang Polo, S Vijenidran berkata, lokasi baharu yang dicadangkan itu dilihat tidak sesuai dengan kapasiti untuk memindahkan kesemua penjaja.

"Sepatutnya peniaga yang berlesen dengan tidak berlesen tidak boleh bercampur di satu lokasi.

"Dahulu tidak terlalu sesak macam ini, kesesakan yang berlaku sekarang ini pun kerana semuanya yang berlesen dan tidak berlesen berada di satu-satu kawasan," katanya.

Penjaja gerai Laksa Kedah, Mohamad Aminudin Abdullah, 67, berkata, penguatkuasaan yang lebih tegas sepatutnya dikenakan terhadap penjaja tidak berlesen sepertimana mereka penjaja berlesen.

"Kami peniaga asal sebelum ini sudah berulang kali bermesyuarat bersama pihak MBI sebelum akhirnya mereka mengeluarkan lesen. Jadi, kami semua peniaga berlesen sudah mengikut semua kehendak dan syarat yang ditetapkan MBI.

"Kemudian barulah penjaja luar itu masuk, kita faham sama-sama nak cari makan terutama ketika susah waktu pandemik sebelum ini, tetapi ia masuk secara tidak terkawal.

"Sewaktu kami dulu kawalannya cukup ketat dan diambil tindakan, kerap kena bayar denda, barang perniagaan ada yang dipunggah, tetapi kenapa semua penjaja (tidak berlesen) ini datang tidak pula dikenakan sebegitu," katanya.

Penjaja gerai Laksa Padang Polo, Omar Kamaruddin, 63, pula berkata, beberapa isu mengaitkan penjaja sebelum ini belum selesai, kini ditambah pula dengan isu baru penempatan semula penjaja.

Katanya, pihaknya berharap MBI mengkaji semula cadangan dan mencari jalan penyelesaian lebih baik kepada semua pihak.

"Jadi, kami semua tujuh peniaga berlesen memang tidak bersetuju untuk dipindahkan ke tempat lain. Kami akan kekal berada di tempat sedia ada seperti yang sudah dipersetujui oleh pihak MBI pada tahun 2003," katanya.

Sementara itu, pelanggan dari Kuala Lumpur, Siti Ayshah Omar, 29, selaku penggemar menu gerai di Padang Polo tidak bersetuju dengan cadangan untuk memindahkan penjaja daripada lokasi asal.

"Saya tidak berapa setuju dengan lokasi baharu yang dicadangkan sebab di sini lebih santai, kalau datang bersama keluarga boleh beriadah sambil makan-makan.

"Dilokasi baharu itu agak terperap dan terselindung dari pengunjung, jadi kita, jadi rasanya mungkin kita tak pergi sebab suasananya sangat berbeza,"katanya ketika ditemui dilokasi berkenaan.

Pelanggan tetap, Norasiah Mat Azraai, 35, pula turut berpandangan peniaga asal yang berlesen bukan punca masalah kesesakan.

"Dulu memang tak sesak macam ini, saya rasa kalau peniaga yang bukan laksa boleh dipindahkan kesana, tetapi di sini biarkan peniaga asal laksa sahaja.

"Saya memang tidak bersetuju dengan cadangan itu, sebab semua orang tahu kalau nak cari laksa Padang Polo memang di sini dan bukan di tempat lain," katanya.