BAGAN SERAI - Permulaan sesi persekolahan pada Mac ini yang juga jatuh pada awal Ramadan memerlukan tambahan perbelanjaan bagi keluarga untuk melakukan persediaan.

Selain kelengkapan persekolahan, persiapan untuk menyambut hari raya juga perlu dilakukan walau pun ringkas demi menggembirakan anak-anak.

Atas sebab ini, Masjid Daerah Bagan Serai mengambil langkah awal apabila menyantuni golongan kurang berkemampuan, anak yatim dan orang kurang upaya (OKU) membeli baju raya.

Seramai 62 orang yang terdiri daripada pelajar dan murid sekolah di Bagan Serai menarik nafas lega kerana mendapat sumbangan untuk meraikan hari lebaran itu nanti.

Kesemua mereka dibawa ke sebuah pasaraya di Bangan Serai untuk membeli-belah pada Sabtu lalu.

Timbalan Pengerusi Masjid Daerah Bagan Serai, Mohd Saad Hashim berkata, para penerima sumbangan itu merupakan anak-anak kariah masjid tersebut.

Menurut beliau, program kemasyarakatan itu telah dilaksanakan masjid tersebut sejak 13 tahun lalu bertujuan meringankan beban golongan kurang berkemampuan.

"Setiap anak-anak ini menerima RM300 untuk baju raya mengikut keinginan masing-masing.

"Kita mahu anak-anak ini gembira jadi mereka dapat menyambut Ramadan nanti dengan rasa seronok kerana hendak beraya.

"Semua perbelanjaan adalah daripada sumbangan jemaah serta orang ramai menerusi tabung khas yang kita wujudkan bagi membantu golongan tersebut," ujarnya.

Sementara itu, ibu tunggal, Hashimah Osman berkata, sumbangan yang diberikan pihak masjid kepada lima orang anaknya amat bermaknam

"Sumbangan ini meringankan beban saya sebagai seorang ibu tunggal," katanya.

Bagi suri rumah, Wahida Jamludin dari Kampung Keramat Bagan Serai, ujarnya, apa yang dilakukan oleh pihak Masjid Daerah Bagan Serai boleh dicontohi.

"Pihak masjid ini memainkan peranan membantu ahli khariah, maka sedikit sebanyak akan meringankan beban kepada keluarga yang amat memerlukannya," katanya.