IPOH - Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun di sini yang telah pun beroperasi akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada minggu hadapan.

Perdana Menteri juga merupakan Ahli Parlimen Tambun.

Perkara tersebut dimaklumkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dalam ciapan di akaun Twitternya semalam.

"Memaklumkan bahawa Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan merasmikan balai bomba baharu di Parlimen Tambun pada minggu hadapan," ujar ciapan tersebut.

BBP Tambun antara tujuh buah balai bomba baharu yang telah siap dibina kerajaan menerusi KPKT dalam usaha meningkatkan kebolehan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Balai bomba tersebut sebelum ini telah diserahkan secara rasmi oleh pihak Jabatan Kerja Raya kepada JBPM negeri Perak pada Disember 2021.

Pembinaan balai bomba tersebut penting kerana kedudukan Tambun yang merupakan sebuah kawasan pesat membangun meliputi sehingga Tanjung Rambutan dan Chemor.

Ia juga dapat memendekkan masa menyelamat kerana kedudukan balai bomba yang terdekat adalah di Ipoh dan Meru Raya.