Oleh Balqis Jazimah ZahariĀ 

IPOH: Polis berjaya menahan 530 individu disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran dan penagihan dadah di sepanjang tiga hari operasi 'Ops Tapis Khas' di seluruh Perak.

Operasi bermula 27 Februari lalu itu membabitkan kekuatan seramai 290 anggota yang terdiri dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah bersama pegawai polis dari lain-lain bahagian dan dua pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, polis menyerbu sebanyak 11 lokasi aktiviti penagihan dadah di sepanjang operasi berkenaan.

"Seramai 530 individu berusia 17 hingga 67 tahun yang terbabit dalam pelbagai kesalahan dadah dengan pecahan 522 orang lelaki lapan orang wanita.

"Jumlah berkenaan termasuk 13 warga asing dari Myanmar (1), Indonesia (4), Thailand (5), Laos (1) dan Bangladesh (2)," katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Mohd Yusri berkata, daripada keseluruhan tangkapan, seramai 50 orang ditahan di bawah kesalahan pengedaran dadah, 178 orang bagi kesalahan memiliki dadah dan 302 orang penagih telah disiasat dibawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Pihak polis turut berjaya menahan seramai 12 individu yang dikategorikan sebagai orang yang dikehendaki.

"Seramai sembilan suspek turut dikenalpasti sebagai penagih dadah tegar dan akan diambil tindakan di bawah Seksyen 39C ADB 1952," katanya.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dadah adalah berjumlah RM35,254.50, yang merangkumi (494.30) gram heroin, (155.44) gram syabu (methamphetamine), (34.05) gram ganja, (55.75) liter cecair ketum, (1.20) liter cecair methadon dan (0.77) gram pil erimin 5.

"Turut disita, sebuah kereta, wang tunai dan barang kemas berjumlah RM12,518," katanya.

Tambahnya, operasi yang dijalankan ini diadakan bagi melumpuhkan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah yang menjadi masalah sosial serta kegusaran di kalangan masyarakat masa kini.

"Operasi pada kali ini menumpukan sarang penagih dadah yang dikenalpasti dan hasil daripada risikan yang dijalankan sebelum ini," katanya.