KAMPAR - Seramai 20 pembeli kediaman Taman Tualang Sekah Fasa 2 di sini menerima kunci rumah masing-masing pada majlis yang diadakan di taman perumahan tersebut semalam.

Taman Tualang Sekah Fasa 2 ini dibangunkan oleh pemaju hartanah tempatan, Mimbar Nusantara Holdings Sdn. Bhd. (Mimbar Nusantara).

Projek perumahan ini dibahagikan pada dua fasa yang mana Fasa 1 telah siap pada 2018 mengandungi 54 unit teres satu tingkat yang dijual dengan harga hanya RM70,000 seunit

Projek fasa 2 pula mengandungi 20 unit teres 2 tingkat yang baru siap dibina dan habis dijual tahun lepas pada harga RM230,000.

Majlis penyerahan kunci semalam melibatkan pembeli bagi Fasa 2.

Ini merupakan projek skim perumahan PerakKu di kawasan Tualang Sekah.

Projek Perumahan PerakKu Taman Tualang Sekah Fasa 2 ini telah dipilih dan memenangi anugerah Property Guru Asia Awards Malaysia With IProperty 2022 – Best Mass Market Landed Development (Northern Region) Taman Tualang Sekah.

Pengarah Urusan Mimbar Nusantara Holdings Sdn Bhd, Nazrin Cheong berkata, ini juga merupakan projek Rumah PerakKu yang pertama di Perak memenangi anugerah pembangunan perumahan pada peringkat nasional.

"Saya percaya dan yakin inisiatif serta kommitmen kerajaan Perak agar dapat memperbanyakkan lagi pembangunan rumah PerakKu mampu milik.

"Ini akan memberi penambahbaikan dan peluang kepada rakyat khususnya anak-anak muda untuk mampu membeli dan memiliki rumah impian mereka sendiri," ujarnya.

Mimbar Nusantara juga turut menyampaikan sumbangan kotak makanan pada 20 keluarga kurang berkemampuan sebagai persediaan menyambut Ramadan.

Seramai 10 pelajar cemerlang yang bakal memasuki Tingkatan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tualang Sekah juga menerima sumbangan persekolahan.

Penyampaian disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri Tualang Sekah,
Mohd. Azlan Helmi.