IPOH- “Mulanya saya sangat teruja untuk melihat lukisan mural di sini, namun sedikit kecewa kerana kebanyakan lukisan mural yang ada sudah pudar dan ada diantaranya tidak lagi kelihatan!,”

Begitulah komen Mackenzie Boyer, 31, salah seorang pelancong dari Austin Texas, USA yang datang ke Ipoh semata-mata untuk melihat sendiri lukisan mural di Jalan Masjid, Taman Jubilee, Ipoh.

“Saya mengetahui lukisan mural di sini menerusi laman sesawang dan di blog-blog pelancongan. Saya sangat tertarik kerana ianya mempamirkan nilai seni yang menunjukkan pelbagai komuniti di negara ini.

“Saya berharap pihak tourism ataupun pihak yang terlibat dapat memantau semula mural-mural yang telah terhakis untuk diperbaiki ataupun dilukiskan semula.

“Jujur saya katakan, lukisan mural di sini sangat menarik dan berwarna-warni. Sekiranya tiada usaha memperbaikinya, pasti akan merugikan kerana ia adalah salah-satu produk pelancongan yang menarik perhatian pelancong-pelancong,” katanya.

Mackenzie Boyer, merupakan seorang guru Bahasa Inggeris turut memberi pandangan terhadap kebersihan di sepanjang lorong mura berkenaan. Katanya, terdapat beberapa longgokan sampah di belakang premis perniagaan yang terbiar begitu sahaja.

“Pihak berkuasa tempatan dan komuniti setempat seharusnya sentiasa memantau kebersihan persekitaran di sini, walaupun tidaklah beberapa teruk tetapi longgokkan sampah mencacatkan pemandangan mata.

“Begitu juga tumbuhan-tumbuhan liar yang menjalar di dinding-dinding turut menganggu mural-mural yang sedia ada,” katanya.

Pemilik Vintej Cafe No. 100, Nor Hafizi Ozau Suri, 46, memulakan perniagaan sejak empat tahun di kawasan ini berkata kebanyakkan mural yang ada sudah pudar warna dan ada yang sudah terhakis.

“Lukisan mural di sini, sememangnya menjadi tumpuan pelancongan-pelancongan sejak sekian lama. Kunjungan pelancongan luar negara ke kawasan ini semakin meningkat selepas bermula fasa endemik.

“Saya berharap kerajaan negeri melalui Tourism Perak dapat membaiki semula mural yang telah lama dan telah terhakis oleh faktor cuaca. Terdapat juga beberapa perbuatan vandalisme terhadap lukisan mural yang turut mencacatkan pandangan.

“Sepertimana yang kita ketahui, tahun 2023 adalah tahun melawat Ipoh. Sepatutnya kita telah bersedia dengan produk pelancongan yang ada dalam keadaan baik dan sempurna.

“Lukisan mural bukan sahaja menceriakan bangunan-bangunan lama tetapi mencerminkan budaya perbagai kaum serta nilai seni yang dikagumi oleh pelancongan asing,” ujarnya. -Peraktastic-