IPOH - Hubungan baik yang sedia terjalin antara media negeri Perak dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dieratkan lagi menerusi sesi minum petang yang diadakan semalam.

Majlis yang diadakan di Hotel Impiana ini dihadiri kira-kira 30 petugas media pelbagai agensi termasuk Ipoh Echo dan Peraktastic yang berlangsung dalam suasana santai.

Program Koloborasi UPSI Bersama Media Perak ini antara lain bagi bertukar-tukar pandangan dan mewujudkan jaringan kerjasama yang boleh diteroka.

Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Prof. Madya Dr. Mohd. Izwan Shahril berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih atas sokongan pihak media dalam melaporkan berita mengenai universiti tersebut.

Katanya, peranan media membantu menyampaikan maklumat yang luas kepada masyarakat khususnya pengetahuan dan pendidikan terkini yang ditawarkan oleh universiti.

"Saya hargai kesudian para pengamal media yang sudi meluangkan masa hadir sesi minum petang bersama membincangkan tentang jaringan komunikasi dua hala.

"Ini termasuk mengenai perkembangan media, perancangan aktiviti dan kolaborasi antara dua pihak dalam usaha meningkatkan imej universiti," ujarnya.

Secara tidak langsung, ini telah memberikan impak positif sesebuah universiti dalam membina jenama pendidikan di peringkat nasional.

Turut dibincangkan ialah cadangan untuk mengadakan satu program khusus antara media negeri Perak dengan UPSI yang akan diadakan di kampus universiti itu di Tanjung Malim.