KUALA KANGSAR - Tiga beradik termasuk seratus lapan orang (108) pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) terkandas ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dihantar pulang ke halaman masing-masing hari ini.

Penghantaran pulang pelajar USAS menggunakan tujuh bas dan dua van hari ini khusus bagi daerah di Negeri Perak sahaja dengan melibatkan zon hijau sahaja.

Salah seorang pelajar Nor Safiqa Sharina 22, berkata, dia menetap di rumah sewa bersama dua adiknya yang berusia 10 dan 11 tahun akhirnya dapat pulang ke kampung halaman selepas dua bulan terkandas di Kuala Kangsar.

Menurutnya, dua orang adiknya itu pada mulanya datang ketika cuti persekolahan dan tinggal di rumah sewa di Kuala kangsar sebelum (PKP) berkuatkuasa.

"Cuti sekolah saya bawa dua adik saya datang ke Kuala Kangsar saja nak jalan-jalan..lepas tu berkuatkuasa PKP mak tak boleh datang ambil..pernah juga la adik-adik menangis nak balik tapi saya tenangkan mereka selama tempoh PKP.

"Bila pihak USAS umum bahawa kami pelajar-pelajar dan adik-adik akan dibawa pulang ke halaman masing-masing, saya lahirkan rasa syukur.

"Pada mula tu...saya ingat tak lepas sebab bawa adik-adik yela..bas untuk pelajar je kan..keluarga semua risau takut adik saya tak lepas..Alhamdulilah keprihatinan pihak kerajaan serta USAS turut sama membantu melancarkan perjalanan kami,"katanya.

Seorang lagi pelajar, Puteri Zaidah Norshafinas Mohd Zaini,20, dari Teluk Intan menzahirkan rasa syukur dan lega kerana dapat menyambut Ramadan bersama keluarga.

"Alhamdulilah, saya dapat menjalani ibadah puasa bersama keluarga..terima kasih saya ucapkan kepada pihak Usas banyak membantu kami di sini,"katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Akademik Dan Hal Ehwal Pelajar USAS, Datuk Dr Wan Sabri Wan Yusof berkata, penghantaran pulang pelajar USAS ini mengikut fasa yang ditetapkan.

"Penghantaran pelajar merentasi negeri pula akan bermula secara berperingkat mengikut zon didahului dengan zon tengah esok, Zon Utara 4 Mei, Selatan 7 Mei dan Timur 9 Mei.

Katanya, jumlah keseluruhan pelajar yang ada di sini 530..ada lagi dalam 300 orang begitu yang melibatkan pengerakkan merentas negeri.

"Yang pilih tak balik..daerah merah atau kuning jadi mereka tidak boleh balik...kedua disebabkan oleh capaian internet tidak begitu baik jadi mereka lebih selesa jadi mereka lebih selesa tinggal di sini sebab kelas masih berjalan melalui online.

Terdahulu, kesemua pelajar yang terlibat diberi taklimat dan melalui ujian saringan kesihatan sebelum menaiki bas ke destinasi masing-masing.