KUALA LUMPUR – Kelewatan sekumpulan individu yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA semalam kerana tidak dihantar ke Stesen Kuarantin pada masa yang ditetapkan berlaku akibat kesilapan maklumat.

Ini kerana semakan pihak berkuasa kemudian mendapati satu daripada 13 penerbangan yang mendarat di KLIA tiada dalam jadual asal.

Menteri Kanan Pertahanan, pesawat tersebut yang membawa 104 penumpang telah mendarat di KLIA.

Menurut beliau, penghantaran individu-individu terbabit ke Stesen Kuarantin tergendala seketika kerana menunggu persiapan hotel untuk menerima bilangan individu yang besar.

“Pihak urusetia telah mengambil tindakan segera untuk menghantar mereka yang terjejas dalam kumpulan kecil ke hotel-hotel lain yang sedia ada.

“Pihak urusetia juga telah memastikan makanan ringan dan minuman disediakan sepanjang proses tersebut. Kumpulan terakhir ditempatkan di Stesen Kuarantin pada pukul 10 malam,”ujarnya di sini hari ini.

Sehubungan itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan menambahbaik penyelarasan bersama Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri yang bertindak sebagai sekretariat di peringkat negeri dalam aspek pengurusan Stesen Kuarantin.

Dalam pada itu, sejak 24 Julai sehingga semalam seramai 10,838 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua telah ditempatkan di 60 hotel dan 5 Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Perlis, Kedah, dan Labuan.

Daripada jumlah itu, seramai 44 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan dan 2,992 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang.