Kampar- Dilema suami isteri yang tinggal seminggu di dalam kereta berakhir setelah rumah baharu mereka bakal disiapkan sebelum perayaan deepavali.
Raja Kumari a/p Jaganathan, 45 dan suaminya Sivagami Selvan a/l Phaciapan, 45, merasakan kehidupan mereka kembali bersinar bakal rumah baharu mereka di Jalan Temoh, Kampung Baharin Pinji, Kampar dalam pembinaan hasil sumbangan dari pelbagai pihak.
“Sebelum ini saya hanya berserah kepada takdir kerana kami tidak mampu untuk memperbaiki rumah peninggalan mendian ayah saya yang sudah uzur.
“Kami pulang ke kampung semula setelah kami kehilangan kerja di sebuah syarikat di Johor akibat Covid-19. Kami tiada rumah untuk tinggal dan kami hanya mampu tinggal dalam kereta selama seminggu di stesen Petronas, Bandar Baharu Kampar.
“Kami mendapat pertolongan dari Ketua MIC Kampar R.Baratnam yang menyewakan rumah sementara menunggu rumah ini siap. Ini adalah rumah satu Malaysia yang dibantu oleh semua bangsa, terima kasih,” kata Raja Kumari yang difahamkan mengalami penyakit kencing manis kronik yang dijaga oleh suaminya.
Pengerusi Jawatan Kuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak, Dato' Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata selain sumbangan dari Pusat Khidmat Dun Tualang Sekah, kita juga berterima kasih kepada MIC Kampar dan orang awam yang memberi sumbangan untuk mendirikan rumah baharu kepada pasangan ini yang dikatogori sebagai miskin tegar.
“Sejumlah lebih RM20,000 berjaya dikumpulkan untuk membeli semua bahan-bahan pembinaan rumah ini. Kita berterima kasih juga kepada pihak Bomba Negeri Perak dan Majlis Daerah Kampar di mana telah menyumbang tenaga dalam membina rumah ini.
“Kita berharap kehidupan pasangan ini akan lebih bermakna terutama menjelang perajaan deepavali pada bulan depan”,katanya kepada media di Jalan Temoh, Kampung Baharin Pinji, Kampar, di sini, hari ini.
Sementara itu Pengarah Bomba Negeri Perak, Azmi Osman berkata Program Jiwa Murni ini merupakan salah satu CSR yang melibatkan seramai 32 orang anggota untuk mendirikan rumah pasangan tersebut.
“Kami bersedia menyumbangkan khidmat dan tenaga bagi menjayakan program ini. Kami sentisana membantu tanpa mengira bangsa dan agama. Matlamat kami ingin melihat golongan yang kurang bernasib baik dibela dengan sewajarnya”, katanya.