IPOH 5 Mei - Kerajaan negeri Perak menyokong keputusan kerajaan Persekutuan untuk membenarkan industri dan aktiviti perniagaan beroperasi secara menyeluruh bermula Isnin lalu.

Ia dibuat setelah mengambil kira kepentingan rakyat serta tanggungjawab kolektif untuk memerangi wabak Covid-19.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pelaksanaan tersebut juga menerima pakai prosedur operasi standard (SOP) Pembukaan Ekonomi yang diumumkan kerajaan Persekutuan.

Menurut beliau, perkara tersebut telah diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Khas Bil 5 pada 3 Mei lalu.

"Bagaimanapun, setelah diperhalusi, kita telah memutuskan penangguhan operasi terpilih bagi sektor makanan dan sektor sukan dan rekreasi.

"Semua warung, penjaja, kedai makan, restoran atau kenderaan saji boleh dibuka tetapi bagi pembelian bungkus dan penghantaran sahaja," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Begitu juga operasi pasar segar tanpa premis yang masih tidak dibenarkan.

Tegas Ahmad Faizal lagi, semua pengusaha restoran dan premis
makanan perlu mematuhi SOP seperti mengambil suhu badan pekerja, mengawal jumlah pelanggan dan jarak sosial serta mewajibkan penggunaan penutup mulut dan mencuci tangan.

"Kerajaan negeri berpendirian bahawa semua pengusaha restoran dan premis
makanan mesti mengambil langkah-langkah persediaan sebelum kita memutuskan membenarkan semula pelanggan untuk makan di premis.

"Selain itu, kita juga sedang menubuhkan pasukan-pasukan khas di peringkat pihak berkuasa tempatan seluruh negeri bagi tujuan pemantauan dan penguatkuasaan," ujarnya.