IPOH – Seramai 261 anak-anak warga Pasukan Gerakan Am (PGA) Kem Ulu Kinta di sini menerima sumbangan kelengkapan persekolahan daripada Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tambun pada satu majlis yang diadakan di markas pasukan keselamatan itu baru-baru ini.

Sumbangan berkenaan adalah inisiatif Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bagi menghargai sumbangan warga pasukan keselamatan itu yang juga merupakan petugas barisan hadapan negara.

Ketua Srikandi Bersatu negeri Perak, Puteri Holijah Muhamad Rali berkata, turut menerima sumbangan tersebut ialah anak-anak anggota 69 Komando dan Pusat Latihan PGA yang juga merupakan penghuni kem yang sama.

Menurut beliau, sumbangan pakaian sekolah, kasut dan beg itu menerusi program Back To School 2021 itu turut dijayakan dengan kerjasama pihak pengurusan Pasaraya Sakan Sdn Bhd (Pasaraya Sakan).

“Senarai penerima ditentukan oleh bahagian kebajikan batalion PGA atau pasukan masing-masing dengan keutamaan diberi kepada pegawai pangkat rendah, petugas awam, ibu dan bapa tunggal serta keluarga yang memiliki ramai tanggungan anak yang bersekolah.

“Setiap anak-anak menerima sepasang pakaian sekolah manakala bagi perempuan pula tambahan kain tudung selain kasut sekolah jenama Pallas, stokin dan beg galas,” ujarnya di sini.

Terdahulu, program sumbangan disempurnakan oleh Pegawai Khas Kanan Ahli Parlimen Tambun, Mubin Salleh bersama Komander Briged Utara, Senior Asisten Komisioner (SAC) Abdul Ghani Mohamad Ji dan Komander 69 Komando, SAC Abdul Razak Mohd Yusuf.

Bagi mematuhi aturan dan penjarakkan fizikal, pihak penganjur juga menyediakan khemah berasingan bagi setiap kelengkapan yang diagihkan manakala para penerima pula dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil.

Selain sumbangan pakaian, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tambun turut menyediakan khemah untuk menggunting rambut secara percuma kepada murid-murid lelaki.