IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menerima dua set rak rehal sumbangan syarikat SLT Construction Sdn Bhd di dalam satu penyerahan ringkas yang diadakan di sini, semalam.

Sumbangan rak rehal itu diserahkan Pengarah syarikat berkenaan, Mustafa Rahadi kepada Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud.

Sementara itu, Mustafa ketika ditemui berkata, sebelum ini pihaknya telah menyumbang dua set rak rehal kepada Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG).

Tambahnya, pihaknya dalam perancangan untuk melakukan sumbangan tersebut kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Perak.

“Satu unit rak rehal mempunyai 20 slot untuk menyimpan 20 rehal. Justeru kami berharap pemberian rak rehal ini dapat membantu dalam menyimpan kitab suci Al-Quran dengan lebih kemas dan tersusun di surau atau masjid,” jelasnya.

Beliau berkata, setakat ini syarikatnya masih belum mengeluarkan rak rehal tersebut untuk jualan dan hanya dibuat khas untuk tujuan sumbangan.

“Bagaimanapun, jika terdapat permintaan, kami akan mengeluarkannya dan menjualnya dengan harga berpatutan,” ujarnya.