IPOH - Setiausaha Bandaraya, Zuraina Kamarul Ariff mengetip kad perakam waktu buat kali terakhir di Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) selepas 31 tahun berkhidmat bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.
 
 
Sehubungan itu, Majlis Persaraan Jasamu Dikenang diadakan petang semalam dengan dihadiri Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud, pegawai serta kakitangan MBI. 
 
Beliau mencatatkan sejarah dengan menjadi wanita pertama dilantik menjadi Setiausaha Bandaraya pada 1 Julai 2020. 
 
Sebelum bertugas di MBI, beliau memulakan kerjayanya sebagai Jurutera Tingkatan Biasa di Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) pada tahun 1988.
 
Kira-kira dua tahun kemudian, pada 15 November 1990, Zuraina mula berkhidmat di MBI sebagai Jurutera Tingkatan Biasa J3 sebelum dilantik menjadi Pengarah Kejuruteraan Bandaraya (Jurutera J48) pada 1 Januari 2011. 
 
Seterusnya, pada 15 November 2018, beliau dinaikkan pangkat menjadi Pengarah Kanan (Infrastruktur & Operasi) (Jurutera J52) dan seterusnya sebagai Pengarah Kanan (Infrastruktur & Perancangan) (Jurutera J54) pada 15 November 2019.
 
Dilahirkan pada 21 Mac 1961 di Bagan Serai, Perak, beliau berkelulusan Ijazah Kejuruteraan, Kejuruteraan Awam (Kepujian) dari Universiti Middlesex, London, United Kingdom sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat Master of Science (Pengurusan Projek) di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.