IPOH – Perkhidmatan aplikasi pintar Park@Perak yang diperkenalkan pada tahun 2019, telah berjaya memberi impak yang besar dalam sistem pengurusan parkir di 15 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh Perak terutama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Pengarah Perbendaharaan Bandaraya, Mohd Syazlan Mohd Isa Suffian berkata, maklum balas yang diterima daripada pengguna amat baik dan peratusan penggunaan  juga meningkat sebanyak hampir 30 peratus sejak mula diperkenalkan pada 1 Januari 2019 yang lalu.

Menurutnya, di Ipoh, penggunaan aplikasi tersebut meningkat dari setahun ke setahun bermula daripada 25 peratus pada tahun pertama diikuti 45 peratus tahun kedua dan telah mencecah hampir 55 peratus  setakat Mac tahun ini.

“Namun, pandemik Covid-19 telah memberi impak kepada penggunaan tempat meletak kereta dan terdapat penurunan dalam pembayaran parkir pada tahun lalu.

“Bagaimanapun, kita lihat terdapat peningkatan pada Mac tahun ini dan ia adalah sesuatu yang sangat baik,” katanya dalam temubual bersama Peraktastic di pejabatnya di Bangunan MBI, hari ini.

Katanya, pada tahun 2020 jumlah purata tambah nilai untuk penggunaan aplikasi tersebut adalah sebanyak RM350,000 sebulan  dan jumlah ini telah meningkat kepada lebih RM600,000 sebulan pada Mac tahun ini.

“ Aplikasi Park@Perak juga telah meluaskan lagi kaedah pembayaran dengan  menawarkan lebih banyak alternatif untuk tambah nilai iaitu melalui e-wallet seperti Boost, Touch N Go, Mcash dan GrabPay,” jelasnya.

Beliau berkata, mulai 1 Mac, pengguna juga boleh membuat pembayaran kompaun lalulintas melalui aplikasi Park@Perak namun buat masa ini hanya kompaun  bagi MBI dan  Majlis Daerah Kerian (MDK) sahaja yang terlibat. Kompaun bagi PBT - PBT Perak yang lain akan menyusul tidak lama lagi.

Tambahnya, MBI turut memberikan diskaun bayaran kompaun lalulintas sebanyak 50 peratus melalui pembayaran atas talian termasuk aplikasi Park@Perak sehingga akhir tahun ini seperti yang diumumkan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud pada Februari lalu.

“Bagaimanapun, untuk PBT- PBT lain, keputusan pemberian diskaun  tertakluk kepada PBT masing-masing,”ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Syazlan berkata, sebagai pelaksana yang dilantik kerajaan negeri untuk projek aplikasi Park@Perak ini, MBI bertanggungjawab dalam mengendalikannya secara menyeluruh tanpa penglibatan pihak swasta dengan kerjasama Bahagian Kerajaan Tempatan dan PBT-PBT Perak yang lain.

Katanya, kesemua jawatan kuasa yang dilantik bagi menguruskan  aplikasi tersebut telah berusaha menambah baik sistem dari semasa ke semasa mengikut kesesuaian.

“Melalui aplikasi ini, kita turut menyediakan ruangan maklum balas dan sehingga kini kita telah menerima sejumlah 14,800 maklum balas daripada pengguna.

“Ruangan maklum balas ini secara tidak langsung dapat membantu kita untuk menambah baik sistem untuk keperluan pengguna,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata penggunaan aplikasi ini dapat mengurangkan pengeluaran kupon dan pengguna tidak perlu lagi mencari ejen penjual kupon untuk membelinya.

“Hanya dengan tambah nilai minimum RM10, pengguna boleh menggunakan aplikasi tersebut dan boleh berkongsi dengan keluarga,” jelasnya yang memaklumkan MBI telah mencetak 15 juta keping kupon pada tahun 2019.