KAMPAR - Majlis Daerah Kampar (MDKpr) akan membuka kaunter kutipan luar di empat lokasi pasar awam sekitar daerah mulai 1 April hingga 12 April ini.

Yang Dipertuanya, Abdul Halim Saad berkata, pembukaan kaunter kutipan luar ini adalah inisiatif MDKpr untuk memudahkan penduduk sekitar membuat bayaran terutamanya cukai taksiran, sewa dan kompaun.

Menurutnya, empat lokasi kaunter bayaran tersebut adalah di Pasar Awam Mambang Di Awan (1 dan 2 April); Pasar Awam Kampar (5 dan 6 April); Pasar Awam Malim Nawar (7 dan 8 April); dan Pasar Awam Gopeng (9 dan 12 April).

“Waktu operasi di semua kaunter bayaran berkenaan bermula dari jam 9.30 pagi sehingga jam 12 tengah hari.

“Bagaimanapun, MDKpr masih membuka kaunter bayaran di Pejabat MDKpr dan Pejabat Cawangan Gopeng (bersebelahan Pejabat Penghulu Mukim Teja). Justeru, orang ramai masih boleh membuat bayaran seperti biasa di kaunter-kaunter berkenaan,” jelasnya.

Bagi orang ramai yang mempunyai pertanyaan berhubung kaunter kutipan luar ini boleh menghubungi Jabatan Perbendaharaan MDKpr di talian 05-467 1020 atau 05-467 1030.