PEMBIKINAN video muzik atau video klip boleh menjadi daya tarik kepada sesuatu karya muzik selain juga boleh meningkatkan pendedahan artis atau pengkarya kepada umum.

Dengan penceritaan, ia mendorong audiens untuk mendengar dan menarik perhatian mereka untuk membeli.

Atas dasar untuk membimbing pengkarya-pengkarya muda, syarikat produksi Luncai Emas Sdn Bhd (Luncai Emas) mengambil langkah mencurah ilmu dan berkongsi pengalaman dengan penggiat seni dan video muzik Perak.

Luncai Emas yang ditubuhkan sejak 30 tahun lalu telah mentadbir 4,000 karya lagu, menaungi 100 komposer dengan lebih 10 kumpulan muzik.

Bertempat di Dewan Bandaran Ipoh, Luncai Emas telah menjayakan Bengkel Hakcipta dan Bikin Video Muzik yang disertai kira-kira 100 pengkarya muda yang sebahagian besarnya adalah anak-anak Perak.

Luncai Emas menjadi penganjur bengkel ini dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia FINAS, Majlis Bandaraya Ipoh, Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan dan disokong oleh Persatuan Industri Rakaman Malaysia IRAMA.

Sepanjang bengkel selama dua hari ini, para peserta telah diberi tips-tips penting daripada panel professional, Datok Jurey Latiff, produser dan juga pengarah filem berpengalaman serta Damian Ng, editor yang telah sekian lama menceburi bidang ini.

Peserta turut didedahkan tentang bagaimana hendak menerbitkan video muzik dan juga proses menyuntingnya.

Turut didedahkan ialah tentang pentingnya hakcipta muzik yang disampaikan oleh panel, Jennifah Johari iaitu Pengarah Hakcipta Luncai Emas Sdn Bhd.

Beliau juga adalah Pengarah, Music Authors Copyright Protection Berhad (MACP).

Bimbingan turut diberi oleh Pengarah Produksi Luncai Emas, Keon Omar yang juga penulis lirik terkenal.

Beliau telah menunjukkan cara bagaimana sesuatu rakaman, sama ada muzik mahupun video boleh dieksploitasi serta pemasarannya pada medium-medium digital.

Kemuncak bengkel ialah sesi bertemu Datuk M.Nasir yang merupakan Pengarah Urusan Luncai Emas.

Komposer tersohor tanahair ini nyata memberikan impak semangat kepada setiap peserta memandangkan kehebatan serta aura beliau yang telahpun terbukti kemampuannya selama 40 tahun berada dalam industri muzik ini.