IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah menerima pelbagai cadangan termasuk daripada pihak-pihak berkepentingan dalam usaha mengindahkan landskap bandaraya ini yang berunsur bandar rendah karbon dan mengamalkan konsep menanam semula pokok-pokok yang sesuai bagi mengekalkan kehijauan.

Kandungan laporan dan cadangan ini merupakan inisiatif pelbagai pihak yang terlibat dalam mendokumentasikan landskap di dalam kawasan bandar lama Ipoh dan Sungai Kinta.

Datuk Bandar, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, cadangan-cadangan dan kajian dalam laporan tersebut akan dapat membantu MBI dalam mencapai matlamat menjadi Ipoh sebagai Bandar Rendah Karbon menjelang tahun 2030 sepertimana dihasratkan.

Menurut beliau, kerjasama itu juga secara tidak langsung untuk memartabatkan profesion arkitek landskap melalui jalinan pada semua peringkat agensi selari bagi merealisasikan Bandaraya Ipoh ke arah Bandaraya Rendah Karbon, Bandaraya Warisan dan juga Bandaraya Pintar.

“Hari ini misalnya kita jalankan program penanaman pokok di taman awan yang merupakan program kerjasama antara Jabatan Landskap Negara (JLN), MBI, Universiti Putra Malaysia dan Institute of Landscape Architects Malaysia (ILAM).

“Ia untuk menghasilkan laporan penanaman dan pengindahan semula Ipoh menerusi perspektif arkitek landskap,” ujarnya kepada media pada Majlis Penanaman Pokok Perak Bumi Lestari di Taman DR Seenivasagam di sini hari ini.

Pada majlis tersebut Rumaizi telah menanam sebatang anak pokok Merbau sebagai simbolik pelancaran yang diadakan sempena menyahut kempen Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad kearah Perak Bumi Lestari.

Objektif kempen ini adalah untuk merealisasikan penanaman 100,000 pokok teduhan di sekitar bandaraya Ipoh.

Jelas Rumaizi lagi, sasaran MBI adalah untuk melaksanakan penanaman pokok teduhan dan penghijauan di seluruh bandaraya terutamanya di taman rekreasi utama, jalan-jalan utama dan juga kawasan-kawasan lapang termasuk tanah rizab.

Usaha penanaman pokok-pokok ini telah dimulakan oleh MBI pada Januari lalu dengan MBI menyasarkan penanaman 5,000 pokok di sekitar bandar raya ini dalam usaha untuk menjadikan ia bandar raya bebas karbon menjelang 2030.

Ia selaras dengan hasrat kerajaan yang mahu menanam 100 juta pokok di negara ini dalam tempoh lima tahun bagi menjamin kelestarian alam sekitar.

MBI telah memperuntukkan sebanyak 1,500 pokok untuk ditanam pada tahun ini dan akan ditambah kepada 5,000 pokok pada masa akan datang.