TAIPING - Usaha membantu Kerajaan Negeri merealisasikan Perak Greenprint dan matlamat melestarikan alam sekitar disambut baik oleh Majlis Perbandaran Taiping (MPT).

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping, Khairul Amir Mohamad Zubir berkata perlaksanaan Perak Greenprint bertujuan memupuk kesedaran dikalangan rakyat negeri Perak khususnya warga Daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) mengenai kesan perubahan iklim terhadap alam sekitar dan juga hidupan di muka bumi.

“Inisiatif Perak Greenprint diharapkan dapat menaikkan semangat dan menggalakkan semua agensi dan warga LMS khususnya untuk menanam lebih banyak pokok bagi mengatasi isu perubahan iklim.

“Kelestarian alam sekitar tidak hanya dipikul oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau agensi tertentu sahaja namun setiap individu mempunyai peranan masing-masing dalam menjayakan matlamat pembangunan lestari tersebut”, katanya kepada media selepas Program Penyerahan Anak Benih Pokok Buah-Buahan Tempatan Peringkat Daerah Larut, Matang dan Selama baru-baru ini.

Hadir sama Pegawai Daerah Larut, Matang dan Selama, Mohamed Akmal Dahalan.

Majlis penyerahan anak benih pokok ini adalah susulan dari titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang mahukan 100 ribu pokok perlu ditanam di semua daerah dan PBT Negeri Perak.

Justeru itu kerajaan negeri Perak bersetuju mengadakan satu kempen di bawah Perak Greenprint bertajuk ‘Perak My Green Home’ di semua agensi-agensi kerajaan negeri Perak.

Sebanyak 26 agensi termasuk enam agensi kerajaan Daerah LMS dipilih menerima penyerahan benih pokok-pokok tersebut.

Menurut Khairul Amir, MPT mensasarkan sebanyak 6,500 pokok ditanam di daerah LMS yang terdiri daripada tujuh spesis pokok buah-buahan tempatan.

“Antara spesis buah-buahan yang dipilih ialah Durio ziberthinus (Durian), Nephelium lappaceum (Rambutan), Mangifera indica (Mangga), Psidium guajava (Jambu), Artocarpus champeden (Cempedak), Nephelium mutabile (Pulasan) dan Spondias cytherea (Kedondong).

“Pemilihan anak benih pokok buah-buahan tempatan ini amat sesuai kerana di samping dapat menghijaukan negeri Perak, ianya juga memberi manfaat kepada setiap penerima pada jangka masa panjang”, katanya.