IPOH – Penyampaian maklumat yang berkesan daripada media boleh membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk memupuk kerjasama yang lebih erat diantara bagi kepentingan wargakota secara menyeluruh.

Adalah penting bagi kedua-dua pihak untuk berkongsi maklumat daripada pelbagai sumber yang diperolehi supaya dapat menangkis sebarang dakwaan yang kurang tepat dan memperbaiki situasi sekiranya dakwaan tersebut didapati benar.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, keakraban antara MBI dan pihak media pastinya akan mengurangkan keraguan untuk membincangkan sesuatu isu berkaitan bandaraya secara lebih telus.

Menurut beliau, sebagai pihak pengurusan dalam sebuah PBT, pengurusan MBI terikat dengan peraturan yang perlu dipatuhi dan begitu juga pihak media yang mempunyai etika kewartawanan yang seharusnya diikuti.

“Saya amat mengharapkan akan wujudnya persefahaman antara kita agar segala urusan kedua-dua pihak dapat berjalan dengan lancar. Maka adalah menjadi harapan pihak MBI agar berita mengenai tindakan susulan (daripada aduan) yang dilaksanakan dimaklumkan oleh media.

“Inilah antara kerjasama yang boleh kita jalinkan dengan rakan-rakan media sekalian. Begitu juga dengan program-program yang dianjurkan oleh MBI, publisiti melalui rakan-rakan media sekalian amatlah diharapkan untuk mendapatkan respons yang baik dari segenap lapisan wargakota,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Malam Media Massa MBI 2021 di Galasa, Jalan Caldwell, Ipoh malam tadi yang dihadiri kira-kira 100 warga media daripada pelbagai agensi.

Turut hadir ialah Panglima 2 Briged, Brigedier Jeneral Mohd Azmurin Mat Khalib, Pengarah Penyiaran Negeri Perak, Norliza Salleh, Ahli Majlis, Setiausaha Bandaraya dan Ketua Jabatan MBI.

Tetamu jemputan ialah komposer tersohor tanahair yang juga Pengarah Urusan Luncai Emas Publishing Sdn Bhd, Datuk M Nasir.

Pada majlis tersebut, MBI juga turut menandatangani memorandum persefahaman (MOU) bersama Luncai Emas Publishing Sdn Bhd berkaitan Kota Seni khususnya dalam bidang muzik.

Turut disampaikan ialah sijil penghargaan kepada Panglima 2 Briged, Pegawai Pasukan Gerakan Am Briged Utara dan Pengurus Econsave Jelapang yang terlibat dalam Program MBI Prihatin.

Dalam ucapannya lagi, Rumaizi turut merakamkan ucapan terima kasih di atas kerjasama media Perak dalam menyiarkan berita yang seimbang tentang MBI.

“Sejak saya menjawat jawatan sebagai Datuk Bandar Ipoh, Saya sememangnya menanti peluang keemasan ini untuk beramah mesra dan mengenali pihak media secara lebih dekat dalam suasana yang lebih santai.

“Saya amat mengharapkan majlis ini akan menjadi platform untuk memupuk kerjasama yang lebih erat diantara pihak pengurusan MBI dengan rakan media untuk kepentingan wargakota secara menyeluruh,” ujarnya.

Dalam pada itu, majlis yang berlangsung dalam suasana santai tetapi meriah itu diserikan dengan persembahan nyanyian artis budaya MBI, dendangan lagu daripada petugas media, cabutan bertuah selain nyanyian memukau sifu Datuk M Nasir.