IPOH – Pembangunan sesebuah bandaraya itu boleh ditafsirkan sebagai proses transformasi sesebuah kawasan yang mundur menjadi maju melalui pembangunan infrastrukur, pertumbuhan ekonomi, peningkatan taraf dan kualiti kehidupan penduduk setempat.

Bagaimanapun, bagi memastikan transformasi tersebut berjalan lancar, sudah pasti terdapat tulang belakang yang berusaha gigih untuk merealisasikan perkara tersebut supaya menjadi kenyataan.

Justeru, pada tanggal 23 Julai 2008, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melantik Datuk Roshidi Hashim untuk menggalas jawatan sebagai Datuk Bandar Ipoh kelapan menggantikan Datuk Mohamad Rafiai Moktar yang menamatkan perkhidmatannya pada 5 Jun tahun yang sama.

Roshidi dilahirkan di Kampung Singkir Darat, Bidong, Kedah pada 25 Disember 1955, mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Singkir, Sekolah Menengah (SM) Merbok dan di Sekolah Menengah (SM) Bidong.

Beliau kemudiannya menyambung pengajian di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan memperoleh Diploma Pentadbiran Awam seterusnya melanjutkan pengajian ke Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 1993 serta berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains Politik.

Menurutnya, sebelum dilantik menjadi Datuk Bandar Ipoh, beliau memulakan kerjaya sebagai kerani di Hospital Daerah Butterworth pada tahun 1975.

“Kemudian, pada tahun 1995, saya ditawarkan bertugas sebagai Pegawai Penyiasat untuk Badan Pecegah Rasuah (BPR) (kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)) di beberapa negeri iaitu Pulau Pinang, Kelantan dan ibu pejabat Kuala Lumpur.

“Selepas itu, saya bertugas di Kementerian Kewangan sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik sebelum dilantik sebagai Penolong Pengarah di Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) Perak,” katanya dalam satu temubual bersama Peraktastic di kediamannya, baru-baru ini.

Bapa kepada lima cahaya mata ini kemudiannya dilantik menjadi Pegawai Khas dan Setiausaha Sulit kepada Menteri Besar Perak ke-sembilan yang pada ketika iu disandang oleh Tan Sri Mohammad Tajol Rosli.

“Saya mula menjejakkan kaki ke MBI pada tahun 2007 dan menggalas jawatan Setiausaha Bandaraya sebelum dilantik menjadi Datuk Bandar Ipoh pada tahun berikutnya,” ujarnya.

Katanya, sewaktu mula-mula diamanahkan untuk memegang jawatan itu, beliau melihat MBI dalam keadaan yang memerlukan ssatu transformasi dari pelbagai aspek dalam konteks pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Pada ketika itu, keadaan kewangan amat meruncing dan kami bersama-sama memikirkan hala tuju agresif bagi memantapkan dari segi kewangan dan pentadbiran selain mengambil kira kebajikan kakitangan MBI.

“Bagi menyelesaikan masalah tersebut, saya mengambil pendekatan turun padang untuk memastikan MBI boleh memperolehi hasil yang lebih melalui pendekatan tersebut.

“Maka tiga elemen iaitu giat, tingkat dan jimat dilaksanakan untuk merealisasikan perkara berkenaan. Saya bersama-sama semua ketua jabatan berjaya merangka pendekatan untuk bawa kesan positif dalam meningkatkan kutipan hasil MBI,” jelasnya.

Menurutnya, antara kaedah yang digunakan termasuklah Bahagian Cukai dan Taksiran berjumpa dengan pembayar cukai secara terus supaya mereka dapat melunaskannya.

“MBI juga membantu pemaju dengan meluluskan projek baru pembinaan rumah atau bangunan dengan segera supaya hasil cukai dapat dipertingkatkan,” katanya yang menjelaskan kewujudan One Stop Centre (OSC) MBI banyak membantu memudahkan urusan warga Ipoh.

Roshidi berkata, beliau amat menitik berat hubungannya dengan kesemua mereka yang berkhidmat di MBI.

“Saya percaya dengan menjaga kebajikan dan mengekalkan hubungan secara harmoni bersama semua warga MBI dapat membantu meningkatkan semangat kerja mereka,” katanya yang pernah memberi elaun khas RM500 dan pakej menunaikan umrah selain daripada Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada kakitangan MBI.

Menyentuh aspek pembangunan, beliau berkata pada ketika ini slogan Ipoh Bersih, Hijau, Membangun diwujudkan bagi merealisasikan perkara tersebut.

“Orang luar selalu melabelkan Ipoh sebagai bandar pencen, bandar hantu kerana tiadanya bangunan pencakar langit dan kurang pembangunan di sekitar bandaraya ini.

“Bagaimanapun, kami bekerjasama dengan beberapa agensi antaranya Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Perak dan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) untuk menarik pelabur datang ke Ipoh.

“Usaha itu membuahkan hasil apabila dalam tempoh antara empat hingga lima tahun banyak bangunan baru dibina, wujudnya industri baru dan peniaga-peniaga kecil.

“Kontraktor kelas F turut diberi projek untuk kerja-kerja di MBI melalui tender cabutan,” jelasnya.

MBI sangat optimis dalam memastikan kebersihan bandaraya ini berada dalam tahap yang baik.

“Justeru, Jabatan Taman dan Landskap MBI bertindak menanam pokok-pokok Tacoma dan pelbagai pokok lain serta menyelenggara dengan baik pokok-pokok sedia ada di sekitar bandaraya ini selain menggalakkan pemaju serta pemain industri turut menerapkan elemen hijau dalam pembangunan masing-masing,” katanya.

Dari segi pembangunan, Roshidi berkata, perkara tersebut berjaya dilaksanakan serta membantu menambah populasi penduduk di bandaraya ini.

Katanya, kepadatan penduduk menjadi faktor bagi peningkatan permintaan pekerjaan, pembinaan kediaman dan sebagainya.

“Saya amat menyokong kewujudan Pasar Raya Besar seperti Tesco kerana dapat membantu untuk menaikkan jumlah kutipan cukai dan wang tersebut akan digunakan untuk meneruskan pembangunan di bandaraya ini serta memberi manfaat kepada penduduk setempat,” jelasnya.

Selepas berkhidmat kira-kira enam tahun sebagai Datuk Bandar, beliau bersara pada 2014 namun masih aktif dalam bidang korporat.

“Berikutan itu, saya berharap MBI dapat meneruskan agenda untuk menjadikan bandaraya Ipoh lebih selamat.

“Jadi, slogan sedia ada iaitu Ipoh, Bersih, Hijau, Maju boleh ditambah dengan Selamat pada masa akan datang,” katanya.